ALOR SETAR: Seorang lelaki yang ditahan di dalam lokap di Balai Polis Baling, sementara menunggu untuk dihantar semula ke Penjara Alor Setar meninggal dunia, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata orang kena tahan (OKT) itu yang berumur 35 tahun mengalami sesak nafas dan sawan sebelum diberi rawatan oleh pegawai perubatan dari Hospital Baling di lokap berkenaan.

"OKT telah dibawa ke lokap dari Penjara Alor Setar pada Selasa untuk menghadiri sebutan kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama di Mahkamah Majistret Baling yang dijadualkan pada Rabu.

"Selepas sebutan kes selesai, OKT telah dibawa semula ke lokap sebelum dijadualkan untuk dihantar semula ke penjara pada Khamis. Bagaimanapun, pada pukul 9.40 malam, Rabu, OKT mengalami sesak nafas dan sawan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pihak polis telah menghubungi Hospital Baling dan pegawai perubatan yang memberi rawatan kepada OKT mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia pada 10.22 malam.

"Bedah siasat telah dijalankan pada Khamis di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan punca kematian ialah disebabkan oleh saluran darah jantung tersumbat," katanya.

Beliau berkata setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut bagaimanapun Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman akan meneruskan siasatan kes itu.

-- BERNAMA