Tahap pematuhan masyarakat kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan pantai dan laut adalah sebanyak 98 peratus, menurut Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, ACP Rosman Ismail.

Beliau berkata, tinjauan yang dilakukan di kawasan pantai dan laut Wilayah Satu iaitu dari perairan Kuala Perlis hingga Selangor seluas 730 batu nautika, mendapati orang awam memahami serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan itu dengan tidak menjalankan aktiviti di situ.

"Terima kasih kepada orang awam dan masyarakat tepi pantai kerana ramai di antara mereka telah mematuhi PKP ini. Kalau kita tengok masyarakat awam ini kalau hujung minggu mereka suka berada di tepi pantai dan ada juga yang menyewa bot untuk pergi memancing di laut.

"Tapi dalam tempoh PKP ini, tinjauan yang kita buat di laut boleh dikatakan kebanyakan tempat semua mereka sudah tidak kelihatan lagi berada di pantai dan laut.

"Saya percaya orang ramai sudah mula sedar bahawa pentingnya mereka untuk bekerjasama mematuhi PKP bagi membendung penularan COVID-19," katanya pada sidang media pada Jumaat.

Beliau berkata, lebih 100 anggota dan pegawai PPM terlibat dalam penugasan di perairan berkenaan.

Rosman berkata, jumlah kes di perairan Wilayah 1 menunjukkan penurunan lebih 50 peratus sepanjang pelaksanaan PKP.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan meneruskan rondaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan semua masyarakat mematuhi PKP.

"Saya menyeru kepada masyarakat tepi pantai, orang awam supaya berada di rumah masing-masing kerana kita mahu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini. Kalau semua ambil bahagian saya percaya lagi cepat kita akan dapat menurunkan jumlah kes COVID-19 ini dalam jangka masa yang berterusan," katanya.

Selepas sidang media itu, Rosman membawa petugas media meninjau ke tempat tumpuan orang ramai menjalankan aktiviti memancing terutama di kaki Jambatan Pulau Pinang dan tinjauan mendapati kawasan itu lengang tanpa kehadiran orang awam.

Tinjauan di kawasan tepi pantai dan Pulau Jerejak juga mendapati kawasan itu lengang dan tiada sebarang aktiviti dijalankan di situ. - BERNAMA