PUTRAJAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah trafik di lebuh raya utama akan meningkat sebanyak 2.4 juta kenderaan sehari bermula esok, sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Dalam satu kenyataan hari ini, LLM memaklumkan daripada jumlah itu sebanyak 1.5 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), 199,000 di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak), 106,000 di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan 61,000 di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2.

Bagi mendepani situasi itu, LLM telah mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi, agar pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang selamat dan lancar.

Menurut kenyataan LLM, antara arahan berkenaan ialah syarikat konsesi lebuh raya tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes atau kerja kecemasan bermula 5 Feb hingga 14 Feb 2024, mengaktifkan laluan lorong pintar di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti di Lebuhraya PLUS dan laluan tidal flow di Lebuhraya KL-Karak.

Syarikat konsesi lebuh raya turut diarahkan agar memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik, serta menambah lorong tol sementara di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai trafik yang tinggi, menurut LLM.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, hari ini dilaporkan mengumumkan kemudahan tol percuma selama dua hari bersempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula pada 12.01 tengah malam 8 Feb hingga 11.59 malam 9 Feb ini.

LLM turut menyediakan beberapa garis panduan kepada pengguna lebuh raya, antaranya merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-TTA, memastikan kenderaan dalam keadaan yang baik, memastikan baki kad Touch n Go dan e-dompet mencukupi, serta menyarankan penunggang motosikal agar berteduh di tempat yang disediakan ketika cuaca buruk.

Untuk kemudahan pengguna lebuh raya, LLM memaklumkan Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi selama 24 jam bermula esok hingga 13 Feb ini.

Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia di talian 1800887752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau mendapatkan bantuan, menurut LLM.

Bagi mendapatkan status trafik dan sebarang insiden di lebuh raya, LLM menyarankan pengguna untuk melayari laman Facebook rasmi LLM, aplikasi X @LLMtrafik atau TikTok @llmtrafik.

-- BERNAMA