Tahun Melawat Malaysia 2026: Sektor inap desa dijangka jana sehingga RM200 juta

Kerajaan menyasarkan sektor inap desa untuk menjana pendapatan sehingga RM200 juta pada tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026). - Foto hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan sektor inap desa untuk menjana pendapatan sehingga RM200 juta pada tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan mahu menjadikan inap desa tempatan sebagai kebanggaan dan simbol hospitaliti negara di mata dunia.
"Inap desa adalah nadi penghubung antara pelancong dan komuniti desa. Ia bukan sahaja menjana pendapatan, malah melestarikan budaya, memperkukuh perpaduan, serta membuka peluang baharu untuk generasi muda," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa Kali Ke-3 Bil. 2 Tahun 2025, pada Isnin.
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat tersebut memperhalusi pelaksanaan Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) sempena TMM2026 serta menekankan aspek promosi dan peningkatan kualiti perkhidmatan bagi menarik lebih ramai pelancong menginap di inap desa.Beliau berkata, setakat Ogos lepas, PPHM menjana pendapatan lebih RM39.83 juta dan menerima lebih 620,000 pelancong ke inap desa di seluruh negara, dengan Sabah, Johor dan Pahang antara negeri yang paling banyak dikunjungi.
Ahmad Zahid berkata, bagi mengukuhkan lagi sumbangan sektor inap desa kepada ekonomi negara, kerajaan memperkenalkan beberapa langkah strategik antaranya penawaran lebih 12 skim pembiayaan dan geran kepada pengusaha melalui agensi kerajaan.
Beliau berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja membuka ruang kepada pengusaha untuk meningkatkan kualiti premis dan memperkayakan pengalaman pelancong, ia turut memperkukuh daya saing serta menjamin kelestarian produk komuniti di peringkat tempatan dan antarabangsa.
"Justeru, para pengusaha digalakkan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini agar perniagaan inap desa terus berkembang, memberi nilai tambah kepada industri pelancongan desa, serta membawa manfaat berterusan kepada masyarakat setempat," katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga meluluskan lebih RM1.1 juta bagi baik pulih jalan perhubungan desa dan kemudahan komuniti bagi menyokong ekosistem inap desa, di samping menawarkan pakej pelancongan pendidikan di inap desa yang menyasarkan pelajar dari Jepun, Korea, China, Vietnam, Singapura dan Indonesia.
"Program pertukaran pelajar juga diperluas untuk menjadikan Malaysia destinasi edu-tourism unggul di rantau ini, termasuk menawarkan kerjasama dengan institusi di Kementerian Pendidikan Tinggi dan Maktab Rendah Sains MARA," katanya.
Ahmad Zahid berkata, pemasaran dan promosi inap desa di peringkat antarabangsa turut dilaksanakan melalui misi jualan, pameran dan seminar di pasaran sasaran seperti Indonesia, China, Korea, Jepun, Vietnam dan New Zealand serta platform digital jomhomestay.my dan go2homestay.my.
Kerajaan juga memperkasakan pengusaha inap desa wanita melalui program TVET JELITA dan Latihan Pengoperasian Homestay yang dijalankan oleh Institut Kemajuan Desa (INFRA) yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 2 dan 3 dalam bidang keusahawanan sektor inap desa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami