PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengingatkan semua pihak termasuk Kabinet Kerajaan Perpaduan supaya tidak terbabit dalam aktiviti rasuah.

Perdana Menteri dalam pada itu menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengambil tindakan tegas tanpa mengira latar belakang.

"Alhamdulillah kita telah catat kesungguhan kita, yang jarang dapat berlaku dalam mana-mana negara, apa lagi negara membangun dan di dunia.

"Tindakan diambil terhadap tokoh-tokoh yang dianggap terlepas daripada apa sahaja bentuk penyiasatan dan tindakan.

"Kamu curi dana negara... kamu punggah kekayaan negara... sama ada kamu Perdana Menteri, Menteri Kewangan, atau menteri-menteri, kamu ingat, kita terpaksa bertindak dengan tegas untuk menyelamatkan negara ini," kata Anwar ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Perdana Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Selain SPRM, Perdana Menteri juga memuji usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah, baru-baru ini.

Tegas Anwar, tindakan berterusan PDRM itu menunjukkan bahawa usaha membanteras kegiatan dadah akan dilakukan daripada peringkat bawah sehingga atasan sindiket.

"Ratusan ribu anak-anak kita terlibat dalam dadah dan terpaksa belanja ratusan juta ringgit setahun untuk menangani masalah ini.

"Sukar diambil tindakan terhadap pengedar besar atau tauke-tauke. Maka. 'salute' kepada PDRM kerana menjelajah ke Sabah dan mengambil tindakan tegas.

"Maka cerita di bawah ini bahawa 'jerung' terlepas, tidak timbul lagi. Sekarang tumpuan kita adalah kepada jerung agar 'anak ikan' beringat (tidak terlibat kegiatan dadah)," kata lagi.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata lebih ramai 'jerung' bakal dicekup polis dalam usaha menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan polis akan mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) serta Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang).