Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berpandangan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak seharusnya dimansuhkan.
Sebaliknya, beliau menegaskan, akta itu perlu dipinda dan ditambah baik supaya tidak disalahguna.
“SOSMA tidak perlu dimansuhkan. Pandangan saya ia perlu dibaiki dari semasa ke semasa sebab SOSMA boleh disalahguna.
“Dahulu ia digunakan terhadap Maria Chin (PH-Petaling Jaya) yang hanya terlibat dalam perhimpunan Bersih.
“Bagi kita tindakan seperti itu tidak berpatutan. Walaupun begitu, SOSMA perlu dikemaskini,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

BACA: LTTE: Tun Mahathir berpuas hati dengan tindakan polis

BACA: Isu LTTE: Polis sila tumpu pada siasatan, jangan putar belit kenyataan pemimpin negara - Guan Eng
Beliau berkata demikian ketika diminta reaksi berhubung beberapa individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan dibawah SOSMA kerana dipercayai terlibat dengan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, pindaan terhadap akta itu masih diperingkat perbincangan dan akan dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Mengulas berkenaan tangkapan yang dilakukan polis berhubung kegiatan LTTE, Mohamad hanya berharap supaya badan penguatkuasa itu mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.