Barisan pembangkang di Dewan Rakyat tidak menolak calon Speaker, sebaliknya menolak cara pelantikan yang dilakukan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan keluar dari Dewan Rakyat dibuat disebabkan proses pelantikan tersebut tidak menghormati Peraturan Mesyuarat.

"Kita bukan menentang Speaker, tetapi kita menentang penamaan calon itu dan prosedur pelantikan.

"Oleh sebab itu, kami mengambil keputusan keluar kerana Dewan tidak menghormati dan kita keluar sebelum Speaker mengangkat sumpah," katanya pada sidang media sejurus meninggalkan Dewan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa proses pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 4(1).

"Terdapat tiga elemen dalam pelantikan Speaker iaitu calon itu sedia menerima pencalonan, diberitahu secara bertulis kepada Setiausaha Dewan dan tidak kurang dari 14 hari dari tarikh persidangan, iaitu pada 2 Julai 2018," katanya.



Beliau yang memetik beberapa laporan media menegaskan bahawa pencalonan nama Mohamad Ariff sebagai Speaker hanya diputuskan semalam.

"Memetik laporan Bernama, Perdana Menteri hanya mengesahkan nama calon Speaker semalam di Sarawak.

"Kalau kami menentang speaker, pastinya kami akan kemuka nama calon dari pihak kami.

"Kami terima beliau berdasarkan pengalaman dan integriti, tapi proses pelantikan itu tidak betul," ujarnya pada sidang media bersama barisan pembangkang.

BACA: Baru 10 minit, Dewan Rakyat sudah kecoh

BACA: KJ, Anifah bersendirian di blok pembangkang

INFOGRAFIK: Mohamad Ariff, Speaker Dewan Rakyat ke-9