ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut, selepas membenam PDRM FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

JDT membuktikan keampuhan mereka meskipun masih berbaki empat perlawanan lagi, dengan mengumpul 64 mata selepas menewaskan skuad The Cops itu.

Kejayaan itu juga menyaksikan skuad bimbingan Estaban Solari mencipta sejarah dalam bola sepak negara, apabila muncul satu-satunya kelab bola sepak menjadi juara untuk 10 musim berturut-turut, selepas kali pertama memenanginya pada 2014.

Malah, JDT turut melakar kejayaan 'treble' selepas sebelum ini telah pun menjulang trofi Piala Sumbangsih dan Piala FA.

Pada perlawanan malam tadi, Harimau Selatan mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi pemain sensasi daripada Brazil Bergson Da Silva dan pemain tengah Juan Muniz, masing-masing pada minit ke-37 dan ke-40.

Babak kedua menyaksikan kesilapan pemain pertahanan PDRM FC Izaaq Izhan Yuswardi, menjatuhkan Arif Aiman Mohd Hanapi dalam kotak penalti yang membawa padah, apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Fitri Maskon.

Arif Aiman dengan mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-54, sekali gus melakar jaringan ketiga buat pasukan Harimau Selatan.

Anak buah Esteban Solari bagaimanapun, tidak mengambil tempoh lama untuk menambah jaringan menerusi rembatan deras penyerang dari Argentina FernandoForestieri, tiga minit kemudian.

Jaringan keempat itu melengkapkan malam bermakna buat JDT untuk menyambut kemenangan malam tadi.

-- BERNAMA