Malaysia berharap Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud akan memberi perkhabaran gembira berhubung cadangan menambah kuota jemaah haji negara tahun ini, ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Hasrat Malaysia itu dilihat semakin cerah susulan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Raja Salman pada Isnin.

Buat masa ini kata Jamil Khir, pihaknya masih menunggu sebarang keputusan mengenai cadangan berkenaan daripada Raja Arab Saudi.

"Semalam Perdana Menteri telah bersama dengan kenyataan untuk mendapat kuota tambahan. Jika ada khabar gembira mungkin akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri kemudian. Kita masih lagi menunggu khabar gembira tersebut," katanya semasa ditemui media selepas mengadakan kunjungan dan pertemuan dengan Raja Salman Abdulaziz Al Saud bersama 14 mufti negeri seluruh negara di sini hari ini.

Pada majlis itu, Raja Arab Saudi turut menerima kunjungan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun, Malaysia katanya menghargai tindakan kerajaan Arab Saudi yang mengembalikan kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 sebelum ini.

"Bagaimanapun, bunga-bunga awal kita dapat lihat kuota haji telah dikembalikan kepada asal. Bahkan, harapan supaya 27,900 kuota akan jadi 30,000 kuota. Begitulah harapan kita, (semoga) diakhiri dalam bentuk black and white nanti," tambahnya.

Jelasnya, keputusan mengenai cadangan Malaysia untuk menambah kuota haji berkenaan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengembalikan semula kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 orang untuk Musim Haji 2017 berbanding 22,230 sejak 2013.