KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melepaskan hak kerajaan Persekutuan ke atas tapak Rajang Area Security Command (RASCOM) di Sibu, Sarawak kepada Kerajaan Negeri Sarawak.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kawasan yang diserahkan melibatkan empat kawasan di Sibu, iaitu Nanga Tada, Nanga Jagau, Nanga Ngungun dan Nanga Sekuau dengan keluasan keseluruhan 3,655.60 hektar.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh hubungan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak selaras dengan semangat federalisme serta pengiktirafan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Sejak tahun 2023, kerajaan Persekutuan telah meluluskan penyerahan semula sebanyak 64 lot tanah milik Persekutuan di negeri Sarawak.
"Pelepasan hak ini turut membuka ruang kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk merancang dan melaksanakan pembangunan yang lebih strategik di kawasan berkenaan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan tanah bagi menjana pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri ini," menurut kenyataan itu.
Menurut NRES, Kerajaan MADANI kekal komited memastikan pengurusan aset dan tanah milik Persekutuan dilaksanakan secara cekap, telus dan berteraskan semangat kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara.
-- BERNAMA