BINTANG bola sepak Brazil, Neymar mengesahkan persaraannya daripada pasukan kebangsaan selepas mengakui beliau tidak lagi mempunyai keinginan untuk meneruskan karier antarabangsa.
Pemain berusia 34 tahun itu merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 80 gol dalam 130 penampilan.
Neymar berkata, beliau tidak menyesali perjalanan selama 16 tahun bersama skuad kebangsaan.
Menurut Neymar, masanya bersama pasukan Brazil sudah berakhir selepas mencipta pelbagai sejarah dan memberikan segala-galanya buat jersi kuning kebanggaan negara itu.
"Saya sudah melalui banyak perkara, memberikan darah dan nyawa, serta sentiasa berjuang untuk jersi kuning. Tetapi saya rasa saya tidak menginginkannya lagi," katanya kepada pemberita.
Neymar sebelum ini memberi bayangan bahawa aksi menentang Norway dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia pada 6 Julai lalu mungkin menjadi penampilan terakhirnya bersama Brazil selepas pasukan itu tewas 2-1.
Selepas perlawanan tersebut, Neymar berkata beliau sudah tidak mampu memberikan lebih banyak sumbangan kepada skuad kebangsaan.
Bekas pemain Barcelona dan Paris Saint-Germain itu kini masih beraksi bersama kelab Brazil, Santos, dengan kontraknya dijangka tamat pada Disember ini.