KUALA LUMPUR: Tambahan bantuan dan subsidi daripada jumlah tambahan RM23 bilion yang dibentangkan menerusi Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024 menunjukkan komitmen kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang itu di Dewan Rakyat pada Selasa, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata antara bantuan yang telah ditambah baik pada 2023 ialah Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Insentif Pengeluaran Getah dan Insentif Harga Padi yang membantu rakyat secara amnya dan juga golongan rentan seperti pekebun kecil.

Beliau berkata usaha itu diteruskan pada 2024 dengan penambahbaikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

"Segala penambahbaikan bantuan tunai kepada rakyat adalah bukti kerajaan MADANI akan sentiasa memastikan golongan kurang berkemampuan terus dilindungi. Penjimatan yang dicapai daripada perbelanjaan berhemat dapat diagihkan semula kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Amir Hamzah berkata bagi 2024, STR telah ditambah baik dengan peningkatan peruntukan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus kepada RM10 bilion (2024) daripada RM8 bilion (2023).

"Pemberian STR memberi manfaat kepada sekitar sembilan juta penerima iaitu bersamaan 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.

"Kadar STR telah meningkat sekurang-kurangnya RM300 bagi setiap isi rumah merangkumi lebih empat juta penerima," katanya.

Beliau berkata bayaran STR Fasa 1 yang telah disalurkan pada hujung Januari lepas turut meningkat kepada sehingga RM500 (2024) daripada sehingga RM300 (2023).

Bagi 2024 juga, SARA telah diperluas dengan peruntukan SARA ditingkatkan lebih lima kali ganda kepada RM700 juta (2024) berbanding RM130 juta (2023), katanya.

"Penerima SARA juga diperluas merangkumi golongan miskin dan miskin tegar berbanding 2023 yang terhad kepada miskin tegar. Penerima SARA meningkat kepada 700,000 (2024) daripada 210,000 (2023).

"Kadar SARA untuk kategori isi rumah telah meningkat kepada RM1,200 (2024) daripada RM600 (2023)," katanya.

Amir Hamzah berkata di bawah kerajaan MADANI, bantuan murid sekolah juga ditambah baik.

Beliau berkata bermula 2023, kerajaan telah memperluas penerima BAP kepada semua murid daripada darjah 1 sehingga tingkatan 5.

"Bayaran BAP dengan kadar RM150 kepada semua murid telah diagihkan sejak Januari 2024 melibatkan peruntukan hampir RM800 juta untuk membantu persediaan persekolahan lebih lima juta anak-anak berbanding hanya tiga juta sebelum 2023," katanya.

Beliau berkata hanya di bawah kerajaan MADANI, Insentif Pengeluaran Getah telah dinaikkan bukan sekali tetapi dua kali iaitu daripada RM2.50 sekilogram pada 2022 kepada RM2.70 sekilogram (2023) dan RM3.00 sekilogram tahun ini.

"Kerajaan MADANI juga mengambil langkah meningkatkan pendapatan pesawah. Kadar Skim Subsidi Harga Padi telah ditingkatkan daripada RM360 (2022) kepada RM500 per metrik tan pada 2023," katanya.

Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024 mengadakan peruntukan bagi pengeluaran sejumlah wang yang tidak melebihi RM23,479,669,350 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan bagi 2023.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA