KUALA LUMPUR : Bekas Presiden MCA, Tan Sri Lee San Choon disahkan meninggal dunia pada 10.30 pagi Khamis.

Khabar duka mengenai mendiang dikongsikan MCA di laman rasmi Facebooknya hari ini.

"MCA mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Tan Sri Lee San Choon, Presiden MCA keempat, dari 1975 hingga 1983.

"Sepanjang karier politik mendiang, beliau pernah memegang beberapa portfolio kerajaan, termasuk  Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat, Menteri Kerja Raya dan Kemudahan Awam dan Menteri Pengangkutan.

"Sumbangan dan pengorbanan mendiang kepada rakyat, negara dan parti tidak akan dilupakan," kata MCA dalam kenyataan hari ini.

Mendiang meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Semasa hayatnya, mendiang pernah menjadi wakil rakyat termuda iaitu berusia 24 tahun ketika memenangi kerusi Parlimen Kluang dengan majoriti 1,458 undi dalam pilihan raya pertama yang berlangsung pada 19 Ogos 1959. 

Dua tahun kemudian, pada usia 26 tahun, mendiang diangkat menjadi Setiausaha Agung Pemuda MCA. 

Beliau kemudian dilantik menjadi Pengerusi Pemuda MCA, sebelum bertugas sebagai setiausaha politik kepada Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin pada 1963. 

Namun, selepas pemergian Tan Siew Sin pada 1974, beliau dipilih menjadi Pemangku Presiden MCA. 

Antara peranan penting yang pernah dipegang oleh mendiang adalah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Tugas-Tugas Khas.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Menteri Teknologi, Penyelidikan dan Penyelaras Kampung Baru.

Setahun kemudian, San Choon dipilih sebagai Presiden MCA dan berkhidmat bagi jawatan itu sehingga mendiang bersara daripada arena politik pada 1983.