BATANG KALI: Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di Batang Kali masih belum dapat mengenal pasti lokasi tepat 12 mangsa yang hilang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis begitu pun tidak menolak kemungkinan masih ada mangsa yang selamat sekiranya mereka berpaut kepada batu atau pokok.

Berdasarkan keadaan runtuhan, Norazam menambah peluang menemukan mangsa hilang dalam keadaan hidup amat tipis.

“Kalau dia berada di kawasan timbunan tanah yang mempunyai ruang, yang ada kayu dan pokok, kerana runtuhan tanah ini telah membawa pokok-pokok dan batu-batu besar.

“Jadi kalau terselit di celah batu besar yang mempunyai ruang udara, itu mungkin boleh (ditemukan selamat),” katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Norazam menambah, setakat semalam mangsa yang ditemukan didapati tertimbus dengan tanah pada kedalaman antara tiga hingga lima kaki.

Selain itu, ujarnya terdapat mangsa ditemukan melalui bahagian badan yang kelihatan di kawasan permukaan tanah.

Dalam masa yang sama, Norazam berkata operasi SAR hari ini turut melibatkan tujuh ekor anjing pengesan (K9) daripada JBPM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR fokus dua tapak perkhemahan, guna jentera berat

Ujar beliau, anjing-anjing berkenaan mempunyai kepakaran untuk mengesan mayat yang berada di bawah timbunan tanah, batu-batuan serta air.

Selain menumpukan di dua sektor kawasan iaitu Riverside dan Farmview, ujarnya lagi pasukan SAR akan berpandukan kepada kawasan tapak perkhemahan dan penemuan barang peribadi mangsa di kawasan runtuhan.

Katanya, seramai 135 petugas SAR yang pakar dengan kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.

Beliau dalam masa yang sama tidak menolak kemungkinan berlaku gelongsoran tanah susulan terdapat pergerakan kerana aliran air bawah tanah serta keadaan tanah yang lembut.

Setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya, manakala 12 orang lagi masih dilaporkan hilang.

Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.