Skip to main content

Malaysia

Zahid yakin Fathul Bari mampu jadi ‘game changer’ UiTM Holdings

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinan bahawa Fathul Bari boleh menjadi 'game changer' untuk mengubah UiTM Holdings. - Astro AWANI
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinan bahawa Fathul Bari boleh menjadi 'game changer' untuk mengubah UiTM Holdings. - Astro AWANI

Advertisement

SHAH ALAM: Pengerusi UiTM Holdings, Datuk Fathul Bari Mat Jahya diyakini mampu menjadi 'game changer' dalam membawa perubahan kepada syarikat berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan keyakinan itu ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Ilmuwan Islam di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, hari ini.

“Apa pun permasalahan yang berlaku di UiTM Holdings, saya mempunyai keyakinan bahawa anda boleh membuat game changer untuk mengubah UiTM Holdings, betulkan semula,” katanya.

Untuk rekod, UiTM Holdings sebelum ini menjadi perhatian susulan kerugian sebelum cukai terkumpul kira-kira RM157 juta bagi tahun kewangan 2017, 2018, 2019 dan 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 September lalu mengarahkan UiTM membuat semakan terhadap tadbir urus dan pengurusan syarikat berkenaan.

Susulan itu, Fathul Bari menjelaskan kerugian berkenaan bukan kerugian baharu di bawah kepimpinan semasa, sebaliknya menyifatkannya sebagai isu legasi.

Beliau berkata, UiTM Holdings mempunyai pelan pemulihan yang telah beberapa kali dibentangkan melalui saluran tadbir urus termasuk kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM turut menjalankan siasatan terhadap beberapa isu membabitkan kerugian UiTM Holdings termasuk projek solar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.

Pada 1 Oktober lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings, Azlizan Fadzil didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan pecah amanah membabitkan RM37.37 juta.

Wang berkenaan diperuntukkan bagi pelaburan pembangunan projek solar 50MW itu, namun didakwa disalahgunakan melalui pembayaran bagi tujuan lain.

Azlizan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

SPRM pada hari sama memaklumkan siasatan setakat ini tertumpu kepada seorang suspek, namun boleh diperluaskan kepada pihak lain sekiranya terdapat bukti baharu.

Agensi itu turut mengesan kepincangan dalam aspek tatakelola UiTM Holdings dan akan mengemukakan beberapa syor penambahbaikan.

Fathul Bari mengambil alih tanggungjawab sebagai Pengerusi UiTM Holdings pada Ogos 2025.


 

Must Watch Video

Advertisement