Skip to main content

Malaysia

Suri rumah kerugian lebih RM18,000 terperdaya dengan "job scam"

Seorang suri rumah mengalami kerugian berjumlah RM18,408 selepas terperdaya dengan tawaran pekerjaan tidak wujud atau job scam sejak September lepas. - Foto hiasan
Seorang suri rumah mengalami kerugian berjumlah RM18,408 selepas terperdaya dengan tawaran pekerjaan tidak wujud atau job scam sejak September lepas. - Foto hiasan

Advertisement

IPOH: Seorang suri rumah mengalami kerugian berjumlah RM18,408 selepas terperdaya dengan tawaran pekerjaan tidak wujud atau job scam sejak September lepas.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata wanita berusia 23 tahun itu tertarik dengan iklan bekerja dari rumah, iaitu membungkus barang dengan dijanjikan akan diberi komisen melalui media sosial Facebook, semasa berada di rumahnya di Bagan Datuk pada 30 Sept.

"Mangsa telah menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan tersebut yang kemudiannya diarahkan untuk masuk ke aplikasi Telegram bagi meneruskan urusan dan pengendali Telegram itu meminta mangsa untuk mengisi borang maklumat peribadi. 

"Mangsa kemudiannya diminta membuat tempahan membungkus barang setiap hari dan sebaik  sahaja barang sampai ke alamat rumah, mangsa perlu membuat penghantaran, namun mangsa diarahkan untuk membuat bayaran pendahuluan atas borang atau tugasan yang dibuat terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata mangsa telah melakukan 12 kali transaksi wang kepada beberapa akaun melibatkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM18,408.

Mohammad Ali berkata hasil siasatan mendapati mangsa telah ditipu apabila diarahkan beberapa kali untuk memasukkan wang tanpa dibayar komisen dengan segala transaksi mangsa kepada pemilik nombor akaun yang diberi ialah akaun keldai, manakala akaun Facebook yang digunakan suspek hanya bertujuan bagi sindiket penipuan wang. 

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan [Akta 574], iaitu kesalahan menipu atau perdayaan secara tidak jujur sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang. 

Dalam pada itu, Mohamad Ali turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan jangan mudah terperdaya dengan apa-apa tawaran atau pinjaman dan bantuan dalam talian yang menjanjikan sebarang imbuhan. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement