Skip to main content

Malaysia

KPDN tidak temui tanda kehadiran air dalam tangki RON95 di Batu Kawan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang tidak menemukan sebarang tanda kehadiran air dalam tangki simpanan petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Batu Kawan, seperti dakwaan yang tular di media sosial. - Foto hiasan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang tidak menemukan sebarang tanda kehadiran air dalam tangki simpanan petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Batu Kawan, seperti dakwaan yang tular di media sosial. - Foto hiasan

Advertisement

BATU KAWAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang tidak menemukan sebarang tanda kehadiran air dalam tangki simpanan petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Batu Kawan, seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata pemeriksaan dan penelitian telah dijalankan bersama wakil syarikat minyak serta pengusaha stesen berkenaan hari ini, susulan satu hantaran mendakwa berlaku masalah terhadap kenderaan selepas pengisian petrol RON95 di stesen minyak itu.

Beliau berkata pemeriksaan dan penelitian lanjut itu bertujuan mengenal pasti punca masalah, termasuk kemungkinan kehadiran air atau pencemaran dalam tangki simpanan serta sistem pengeluaran bahan api.

“Semakan terhadap rekod Automatic Tank Gauge (ATG) bagi tangki RON95 secara menyeluruh, meliputi bacaan semasa pemeriksaan serta rekod bagi tempoh tiga hari terdahulu, mendapati tiada bacaan yang menunjukkan kehadiran air dalam tangki berkenaan sepanjang tempoh yang disemak. 

“Pemeriksaan fizikal di kawasan pam dan bahagian tangki takungan turut dilaksanakan dan tidak menemukan sebarang pengumpulan air selain pemeluwapan biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Jegan berkata pemeriksaan secara manual melalui proses dipping di kedua-dua tangki RON95 turut dilaksanakan dengan menggunakan Water Finding Paste (WFP) yang disapukan pada kayu pengukur sebelum dimasukkan ke dalam tangki bagi mengesan kehadiran air.

Beliau berkata sekiranya terdapat air dalam tangki, WFP berkenaan akan berubah warna, namun hasil pemeriksaan mendapati tiada perubahan warna dikesan, sekali gus tidak menunjukkan sebarang tanda kehadiran air.

“Pemeriksaan secara visual juga telah dibuat terhadap bahan api yang dikeluarkan daripada semua muncung pam dan mendapati bahan api yang dikeluarkan kelihatan jernih serta tiada pencemaran dapat dikesan secara pemerhatian mata kasar,” katanya.

Beliau berkata KPDN Pulau Pinang bersama wakil syarikat minyak dan pengusaha stesen berkenaan akan terus bekerjasama melaksanakan tindakan susulan bagi memastikan perkara itu ditangani secara menyeluruh serta kepentingan dan keselamatan pengguna sentiasa diberi keutamaan.

Terdahulu, beberapa hantaran di media sosial tular apabila pengguna mendakwa kenderaan mereka mengalami masalah, termasuk gagal dihidupkan selepas mengisi minyak di stesen minyak di Batu Kawan, selain turut mendakwa masalah berkenaan disyaki berpunca daripada bahan api bercampur air.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement