SEPANG: Kembalinya Formula 1 (satu) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober 2026 bukan sahaja menghidupkan semula kemeriahan sukan permotoran di Malaysia, malah menyaksikan pelbagai aktivasi disediakan untuk melengkapkan pengalaman peminat sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Antara yang turut turun padang ialah foodpanda menerusi kempen “Fast on Track. Faster to You” dengan membawa konsep ‘pit stop’ lebih dekat kepada pengunjung menerusi aktivasi pandamart Pit Stop di Grandstand Utama.
Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Kenneth Soh berkata, aktivasi itu menyediakan pelbagai keperluan untuk hari perlumbaan termasuk makanan ringan, minuman dan barangan harian, sekali gus memberi kemudahan kepada peminat yang berada di litar.
“Jenama foodpanda adalah mengenai kemudahan, barangan harian dan makanan.
“Jadi, kami membawa barangan ini kepada pengguna di sini, terus ke Grandstand Utama.
“Kami menyediakan makanan ringan, minuman dan barangan keperluan yang diperlukan untuk hari perlumbaan,” katanya pada acara Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, pada Sabtu.
Menurut Kenneth, antara jenama yang ditawarkan menerusi aktivasi itu termasuk Nestle, Pepsi serta jenama tempatan seperti Oriental Kopi dan Verona Hills.
Beliau berkata, foodpanda turut bekerjasama dengan beberapa jenama makanan dan minuman yang mempunyai kiosk di sekitar kawasan acara, antaranya Tealive, Chagee, Ayam Gepuk Top Global dan Marrybrown, sekali gus menawarkan pelbagai pilihan kepada pengunjung.
Tambah Kenneth, foodpanda memilih untuk menyertai acara F1 ini kerana kepakaran jenama itu sebagai platform penghantaran.
“Kami memilih untuk menjadi rakan F1 ini kerana foodpanda ialah platform penghantaran.
“Kami menghantar makanan dan barangan harian kepada pengguna dan perkara yang penting ialah kelajuan.
“Kami mahu membuat penghantaran dengan pantas dan tepat, memastikan barangan diterima dalam keadaan baik serta makanan masih panas secepat mungkin.
“Jadi, kelajuan memang sebahagian daripada budaya kami dan kami merasakan ia selari dengan misi kami. Sebab itu kami menjadi sebahagian daripada F1,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan sambutan terhadap kepulangan F1 ke Malaysia sebagai meriah dengan jumlah pengunjung yang tinggi serta barisan panjang di sekitar kawasan litar.
“F1 sudah kembali di Malaysia dan memang terdapat banyak keterujaan.
“Kami melihat jumlah pengunjung memang ramai dan barisan juga panjang.
“Kami cuba lakukan sebaik mungkin supaya barisan bergerak dengan lebih cepat supaya pengunjung tidak perlu menunggu terlalu lama.
“Tetapi melihat kepada jumlah pengunjung, tenaganya memang tinggi dan pengunjung memang sangat ramai,” tambahnya.
Selain pandamart Pit Stop, foodpanda turut menarik perhatian menerusi sebuah Ferrari merah jambu yang dibalut khas dan membuat kemunculan di jalanan Kuala Lumpur serta sekitar Litar Antarabangsa Sepang.
Keseluruhan aktivasi itu merupakan sebahagian daripada kempen hujung minggu perlumbaan “Fast on Track. Faster to You” yang menghubungkan perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan runcit foodpanda dengan kemeriahan kembalinya Formula 1 di Malaysia.