HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang hilang dalam kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali di sini diteruskan pada Jumaat malam selepas cuaca kembali pulih.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati anggota petugas telah bersiap sedia untuk meneruskan operasi yang ditangguhkan sejak jam 5.30 petang akibat hujan lebat.

Bagaimanapun cuaca kembali pulih selepas jam 8.30 malam dan difahamkan anggota telah memasuki kawasan pencarian.

Menurut salah seorang anggota pasukan SAR, operasi tertumpu di sektor A, dipercayai lokasi terakhir kanak-kanak lelaki berkenaan berkhemah.

Anggota yang enggan dikenali itu berkata, sektor C dan B telah selesai proses penggalian tanah.

[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Hari ke-8, pencarian mangsa terakhir diteruskan

Ketika ini, kesemua jengkaut tanah serta pasukan meneruskan usaha pencarian di sektor A.

Sehingga kini, 30 mangsa terkorban dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada Jumaat lalu, manakala 61 lagi mangsa selamat, dan seorang lagi masih hilang.

Operasi SAR memasuki hari kelapan melibatkan 97 anggota pelbagai agensi, dibantu 11 jengkaut tanah dan sembilan ekor anjing pengesan K9.