Skip to main content

Malaysia

Tanah runtuh di Taman Jasmin, penghuni lapan rumah diminta berpindah sementara

Keadaan di lokasi kejadian di Taman Jasmin. -Foto Sinar Harian
Keadaan di lokasi kejadian di Taman Jasmin. -Foto Sinar Harian

Ringkasan AI

  • Seramai lapan keluarga di Taman Jasmin, Kajang diarahkan berpindah sementara susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka pada Ahad malam.
  • Tiada kecederaan atau kerosakan rumah dilaporkan, namun pusat pemindahan sementara dibuka dan bantuan penginapan hotel turut disediakan kepada penduduk terjejas.
  • Majlis Perbandaran Kajang memasang kanvas pada cerun terlibat, sementara siasatan punca kejadian masih dijalankan oleh pihak berkuasa.
Advertisement

KAJANG: Penghuni lapan rumah di Taman Jasmin di sini diminta berpindah sementara sebagai langkah keselamatan susulan kejadian tanah runtuh di kawasan cerun berhampiran kediaman mereka pada Ahad.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 7 malam ketika hujan lebat itu menyebabkan sebahagian cerun di belakang rumah penduduk runtuh, lapor Sinar Harian.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berkata kejadian itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan terhadap kediaman penduduk.

Advertisement

Beliau berkata pihak bomba telah menasihatkan penghuni terlibat supaya mengosongkan rumah masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jasmin," katanya pada Isnin.

Advertisement

Syahredzan berkata beliau bersama wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang turut meninjau kawasan terjejas dan bertemu penduduk bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Bagaimanapun, beliau berkata kebanyakan penduduk memilih untuk tinggal sementara di lokasi lain dan tidak menetap di PPS yang disediakan.

Menurutnya, ADUN Kajang, David Cheong, turut menyediakan penginapan hotel sementara bagi membantu sebahagian penghuni yang terjejas.

Dalam pada itu, Syahredzan berkata Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sedang memasang kanvas pada cerun terlibat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

"Saya sedang menunggu laporan lengkap daripada pihak berkuasa dan MPKj bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Must Watch Video

Advertisement