Hujan lebat yang kerap sejak beberapa hari kebelakangan ini telah menyebabkan kejadian tanah runtuh di tiga lokasi sepanjang Jalan Tapah-Ringlet, berhampiran Cameron Highlands dekat sini, pada Selasa.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku di Batu 10, Batu 16 dan Batu 20.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan, sebaliknya hanya menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 8 pagi.

Menurutnya, selain polis, petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) dan anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dihantar ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan dan melakukan kerja baik pulih.

"Kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan oleh pihak terbabit dan sehingga jam 12 tengah hari tadi, satu lorong sudah dibuka untuk laluan kenderaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.