KUALA LUMPUR: Kerja-kerja awal pembersihan runtuhan di Kemensah Heights, di sini, telah digerakkan oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Gombak pada petang Sabtu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata kerja-kerja terbabit termasuk memastikan aliran sungai mengakibatkan mendapan di kawasan terbabit.

Beliau berkata aliran air sungai yang sebelum ini telah menghalang laluan air kini kembali lancar biarpun hujan turun petang Sabtu.

"Dalam masa sama, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya turut memulakan kerja-kerja pemasangan kain kanvas sebagai sebahagian usaha menghalang air hujan terus mengenai tanah runtuhan di sini," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan runtuhan di sini pada Sabtu.

BACA: 'Bunyi kuat seperti dentuman guruh, rupanya tanah runtuh' 

BACA: Tanah runtuh Kemensah Heights: Kerajaan Selangor salur bantuan khas RM500

BACA: Lokasi tanah runtuh di Kemensah Heights diisytihar kawasan bencana

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan telah meminta daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM1 juta bagi tujuan pembinaan cerucuk besi bagi menahan sebarang pergerakan tanah di kawasan cerun runtuhan di Jalan Kemensah Heights di sini, Jumaat.

Pada Jumaat, sebanyak tiga buah rumah banglo dan 12 rumah jenis bandar membabitkan 27 keluarga terjejas akibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

-- BERNAMA