MALAYSIA
Tanah runtuh Sabah: Dua lagi mayat ditemukan, angka kematian meningkat 9 orang

Dua mangsa terakhir yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong ditemui meninggal dunia. - Sinar Harian
KOTA KINABALU: Dua mangsa terakhir yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong di sini ditemui meninggal dunia, sekali gus menjadikan angka korban tanah runtuh di Sabah seramai sembilan orang.
Ringkasan AI
- Dua mangsa terakhir tanah runtuh di Kampung Cenderakasih dikenali sebagai Nur Iman (9 tahun) dan Maslinah Abdul Halid (24 tahun) ditemui meninggal dunia, menjadikan jumlah korban di lokasi itu seramai tujuh orang.
- Operasi menyelamat melibatkan 24 anggota bomba termasuk Unit K9 dan pasukan STORM ditamatkan pada jam 3.46 petang selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan.
- Jumlah keseluruhan korban tanah runtuh di Sabah kini sembilan orang, termasuk dua beranak yang maut di Kampung Sook, Papar.

Mangsa terakhir yang dikeluarkan daripada runtuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan wanita berusia 24 tahun. - Foto Sinar Harian
"Lima dilaporkan telah meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan daripada runtuhan dan dua lagi mangsa yang baru ditemui melibatkan seorang kanak-kanak dan seorang wanita dewasa.
"Jumlah keseluruhan bagi kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong seramai tujuh mangsa manakala dua beranak lagi melibatkan mangsa di Kampung Sook, Papar," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, operasi di Kampung Cenderakasih yang melibatkan seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Tuaran serta Unit K9 dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) telah ditamatkan pada jam 3.46 petang.

Kedua-dua mangsa masing-masing ditemui pada jam 3.28 petang dan 3.42 petang. - Foto Sinar Harian
Sebelum ini, lima mangsa lain yang maut akibat tertimbus di Kampung Cenderakasih, Kolombong, dikenali sebagai Husaima Sarabani, 40; Abdul Halid Darak, 50; Muhammad Izzan Abdullah, 7; Siti Katijah Abdullah, 4 dan Muhammad Khan Abdullah, 2.
Mangsa yang selamat pula dikenali sebagai Arman Abdullah, 18, Wajid, 16, dan Fezrul Ikhwan, 15, manakala Abdullah Ayan, 20, cedera di bahagian kaki.
Sementara itu, dua mangsa tertimbus di Kampung Sook, Papar dikenali sebagai Emily Johnny, 38, dan anak lelakinya Xarell Myre, 11. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami