MALAYSIA
Tanam mayat kawan di tapak lupus sampah, tujuh warga asing ditahan polis

Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 34 tahun ditahan di sekitar Klang susulan laporan yang diterima daripada seorang wanita warga asing pada 23 Julai lepas.
SHAH ALAM: Polis menahan tujuh warga asing termasuk dua wanita bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di Bandar Sentosa, Klang, pada 20 Jun lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Supt Kamalariffin Aman Shah berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 34 tahun ditahan di sekitar Klang susulan laporan yang diterima daripada seorang wanita warga asing pada 23 Julai lepas.
Menurutnya, wanita itu memaklumkan kepada polis mengenai kejadian pembunuhan yang berlaku di sebuah rumah kedai di Lorong Laksamana 20, Bandar Sentosa.
Hasil siasatan mendapati mangsa, seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun, telah ditikam di bahagian badan dan leher oleh teman serumahnya."Pertengkaran tercetus antara suspek dan mangsa semasa mereka minum minuman beralkohol, sebelum suspek bertindak menikam mangsa sehingga menyebabkan kematian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamalariffin berkata, enam lelaki lain yang turut berada di rumah kedai tersebut kemudian membawa mayat mangsa dan menanamnya di kawasan pelupusan sampah.
Hasil siasatan terhadap suspek yang ditahan membawa kepada penemuan mayat mangsa berserta senjata iaitu pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Beliau berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya, dan kesemua suspek telah diarahkan untuk didakwa di Mahkamah Klang hari ini.
"Suspek utama, lelaki berusia 34 tahun, akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Empat lagi suspek lelaki akan dituduh di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan mayat, manakala kesemua yang ditahan turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami