ALOR SETAR: Tanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), berpotensi dilaksanakan dengan adanya inisiatif menaik taraf infrastruktur sistem pengairan tersier di kawasan itu, yang dijangka bermula tahun ini.

Selain sistem pengairan lebih baik, Pengurus Besar MADA Kamarudin Dahuli berkata ke arah mencapai matlamat itu, teknologi yang bersesuaian perlu diperkenalkan bagi memastikan tanaman padi di kawasan terlibat, dapat dilaksanakan dengan baik.

"Sokongan dari segi subsidi input pertanian dan insentif pengeluaran juga perlu diteruskan dan diberikan kepada peladang yang terlibat, untuk memastikan tanaman padi berpotensi memperolehi hasil padi yang maksima," katanya kepada Bernama di sini, pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai inisiatif 'Gelombang Padi' yang digerakkan tahun ini, bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dan berdaya tahan.

Antara inisiatif tersebut ialah menambah keluasan bagi pelaksanaan program tanaman padi lima musim dalam dua tahun melibatkan kawasan seluas 30,000 hektar, secara berperingkat di kawasan MADA.

Oktober tahun lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata projek menaik taraf sistem pengairan, termasuk pembangunan dan penyelenggaraan 100 blok sistem pengairan tersier di kawasan MADA, dijangka bermula tahun ini.

Selain itu, Kamarudin berkata pengenalan varieti padi tempoh matang pendek yang berpotensi memberi hasil tinggi, contohnya varieti matang 75 hari selepas tanam, akan membolehkan program dilaksanakan dengan lebih berjaya.

Beliau berkata sehingga kini, MADA telah melaksanakan program tanaman lima musim di kawasan seluas 213.99 hektar pada penghujung 2022/2023, melibatkan 165 pesawah.

"(Kawasan) seluas 44.731 hektar melibatkan 54 pesawah di MADA Wilayah I, Perlis dan 169.262 hektar melibatkan 111 pesawah di MADA Wilayah III, Pendang," katanya.

Kamarudin berkata pelaksanaan tanaman padi lima musim merupakan antara usaha yang boleh meningkatkan hasil padi, sehingga berupaya mencapai tahap sara diri (SSL) bagi beras ke tahap maksimum, sehingga tanpa perlu mengharapkan kepada import.

-- BERNAMA