Cubaan seorang bekas pemandu lori untuk mencipta sedikit kelainan dengan menanam jagung merah, berbanding jagung kuning atau putih yang biasa dilihat di merata tempat di dalam negara, membuahkan kejayaan memberangsangkan apabila hasil tanamannya itu kini membolehkan beliau memperoleh pendapatan yang cukup lumayan.

Zailani Mat Ail, 48, berkata beliau sama sekali tidak pernah menyesal apabila mengambil keputusan 'beralih angin' dengan berhijrah daripada bekerja sebagai pemandu lori selama 20 tahun, kepada menjadi petani sepenuh masa sejak dua tahun lepas.

Bapa kepada tiga anak itu berkata beliau mula menanam jagung manis sebanyak 15,000 benih pokok pada Januari lepas dengan modal RM3,000 di atas kawasan seluas 0.4 hektar, dan ia telah memberikan hasil pulangan lumayan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

"Saya terdetik untuk mencipta kelainan dengan menanam jagung merah apabila mendapat inspirasi selepas melihat tanaman itu ditanam di China menerusi Facebook. Sebagai percubaan, saya mula dengan hanya 1,000 benih jagung merah yang diperolehi daripada pembekal di China dengan hanya bermodalkan RM100.

"Alhamdulillah, percubaan pertama itu berhasil dan memberi pulangan lumayan dalam tempoh yang singkat," katanya ketika ditemui pemberita di kebunnya di Kampung Dusun Buluh, di sini, pada Jumaat.

Zailani berkata pada mulanya beliau menceburkan diri dengan tanaman nanas MD2 sebanyak 25,000 pokok di kawasan seluas 1.2 hektar menggunakan modal RM35,000 daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), di atas tanah yang disewa daripada penduduk dengan kadar sewaan RM100 semusim.

"Walaupun pulangan tanaman nanas itu lumayan, mampu mencecah sehingga RM100,000 semusim, namun ia memakan masa hingga 18 bulan untuk menunggu hasil.

"Ia membuatkan saya mengambil keputusan untuk beralih kepada tanaman jagung manis awal tahun lepas kerana ia mampu membuahkan hasil dalam tempoh singkat iaitu kira-kira dua bulan," katanya.

Menurutnya berikutan permintaan tinggi terhadap jagung manis, beliau mengambil inisiatif untuk menambah sebanyak 6,000 pokok jagung merah Julai lepas, dan hasilnya dijangka akan dapat dituai awal bulan Oktober ini.

Zailani berkata beliau hanya mempromosikan hasil tanaman itu menerusi laman Facebook dan ia sering kali mendapat permintaan pelanggan di negeri ini termasuk pelanggan luar, antaranya di Kuala Lumpur dan Kedah.

"Jagung merah ini dijual pada harga RM2 setongkol berbeza hampir sekali ganda dengan harga jagung manis dan disebabkan warnanya yang unik selain rasanya yang sangat enak dan manis, ia sering mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan sehingga ada ketika saya tidak dapat memenuhi permintaan," jelasnya.

Memandangkan penjagaan tanaman jagung merah tidak leceh dan memakan masa yang singkat untuk menuai hasilnya, Zailani juga merancang untuk menanam benih jagung putih dan jagung hitam dalam tempoh terdekat.

"Tanaman ini senang untuk diusahakan dengan hanya memastikan air mencukupi iaitu sekali sehari siraman atau pun dua hari sekali sahaja, malah tanaman ini juga tidak terlampau terdedah dengan serangan serangga ataupun penyakit seperti tanaman lain.

"Saya sedang melakukan percubaan menaman benih jagung putih dan jagung hitam sebanyak 30,000 benih pokok di atas kawasan seluas 1.4 hektar di Kampung Batu 30, Machang dan berharap dapat memberi pulangan yang lumayan," katanya.

Zailani berkata beliau turut mendapatkan nasihat dan bimbingan mengenai tanaman yang diusahakan menerusi aplikasi WhatsApp dalam 'group chat' Petani Kelantan dan juga Pertubuhan Peladang Kelantan yang dibimbing oleh pegawai pertanian.

-- BERNAMA