MALAYSIA
Tangani Islamofobia dengan hikmah, bukan kemarahan - PM

Anwar berkata, Islamofobia yang berleluasa di seluruh dunia berpunca daripada kejahilan dan kegagalan membina pemahaman antara masyarakat yang berbeza latar belakang terutama agama. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Islamofobia harus ditangani berlandaskan ajaran Islam yang mengutamakan hikmah, ilmu dan kefahaman, bukannya melalui cercaan atau tindakan balas bersifat emosional.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Islamofobia harus ditangani melalui pendekatan hikmah, ilmu dan kefahaman, bukan cercaan atau tindakan emosional, selaras dengan ajaran Islam.
- Malaysia memperluas pengeluaran dan pengedaran al-Quran sebagai respons bermakna terhadap prejudis, termasuk pelancaran terjemahan ke-30 dalam bahasa Rusia oleh Yayasan Restu, menjadikan negara antara pengeluar tertinggi dunia selepas Arab Saudi dan Mesir.
- Malaysia turut merancang menerbitkan Mushaf Ummah al-Jami yang menampilkan 20 bentuk tulisan qiraat mutawatir, menjadikannya antara negara pertama secara rasmi menghasilkan mushaf rujukan dunia Islam, dengan sasaran setengah juta naskhah.
“Kita boleh memilih untuk menjerit, memaki atau mengutuk, tetapi di Malaysia, kita memilih untuk bertindak mengikut ajaran Islam melalui dialog, ilmu dan kefahaman,” katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Al-Quran beserta Terjemahan Bahasa ke 30 iaitu bahasa Rusia, serta Peluncuran Mushaf al-Ummah dan Kontena Penghantaran Al-Quran ke Perancis, pada Jumaat.
Anwar berkata pendekatan itu turut dizahirkan melalui usaha memperluaskan pengeluaran dan pengedaran al-Quran di dalam serta luar negara, dengan Malaysia, kini merupakan antara pengeluar tertinggi dunia selepas Arab Saudi dan Mesir.
“Yang menyebabkan kita mengangkatnya ke mercu lebih tinggi ialah cara umat Islam menjawab cabaran dengan hikmah, bukan dengan cercaan atau tindakan balas sembrono. Kita hasilkan terjemahan al-Quran dan edarkan di banyak tempat sebagai jawapan yang lebih bermakna,” katanya.
Menurutnya, langkah tersebut selaras dengan semangat Islam yang menekankan penyebaran ilmu dan pemahaman sebagai cara terbaik membanteras prejudis serta salah tanggapan terhadap agama.
Anwar melancarkan terjemahan al-Quran ke-30 dalam bahasa Rusia oleh Yayasan Restu sebagai sebahagian daripada Projek Sejuta Naskhah Al-Quran yang diumumkan pada 2023 sebagai tindak balas kepada insiden pembakaran al-Quran di Sweden.
Sepanjang dua tahun yang lalu, projek itu telah menerbitkan dan mengedarkan salinan terjemahan al-Quran dalam 29 bahasa, termasuk bahasa Inggeris, Tagalog, Perancis, Hindi, Hausa dan Sepanyol.
Dengan pelancaran edisi ke-30 dalam bahasa Rusia, Yayasan Restu mengorak langkah lebih jauh dengan merancang menambah 30 lagi terjemahan dalam bahasa asing bagi meneruskan usaha dakwah ini, menyasarkan sebanyak 60 terjemahan dalam pelbagai bahasa dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan mesej al-Quran sampai dan dapat dihayati oleh orang dari pelbagai bangsa dan komuniti di seluruh dunia, selaras dengan misi rahmatan lil alamin (rahmat kepada semua ciptaan).
Anwar turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk penghasilan Mushaf Ummah al-Jami', kerjasama ilmiah oleh pakar qiraat dari seluruh dunia, diselia oleh ulama terkenal Dr Ahmad ‘Isa Al-Ma’sarawi, menampilkan kesemua 20 bentuk tulisan qiraat mutawatir.
Penerbitan itu akan meletakkan Malaysia antara negara pertama di dunia yang secara rasmi menerbitkan mushaf sedemikian sebagai rujukan dunia Islam, dengan Yayasan Restu merancang untuk menerbitkan setengah juta naskhah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami