KUALA LUMPUR: Isu vap (vape), yang sebelum ini menjadi topik perdebatan sebaik kerajaan mengeluarkan cecair rokok elektronik atau vap yang bernikotin daripada senarai bahan terkawal Akta Racun 1952 pada awal tahun ini, kembali hangat dibahaskan masyarakat sejak Isnin lepas, susulan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Parlimen.
Bagaimanapun, Parlimen memutuskan RUU itu dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, yang dilihat oleh pakar serta NGO berkaitan sebagai membimbangkan.
Artikel ini adalah yang terakhir daripada siri rencana dua bahagian yang mengupas permasalahan tersebut.
Sepanjang minggu ini, Kementerian Kesihatan (KKM) diasak oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar kesihatan yang mahu kerajaan menarik balik pengecualian cecair vap bernikotin daripada senarai bahan terkawal Akta Racun 1952 buat sementara waktu, demi melindungi kesihatan awam dan masa depan masyarakat, khususnya kanak-kanak.
Desakan lantang itu berikutan mereka kecewa dengan perkembangan terkini rang undang-undang (RUU) bagi mengawal selia semua produk untuk merokok, termasuk bahan yang mengandungi nikotin, yang sebelum ini diharapkan mereka dikuatkuasakan secepat mungkin.
Namun, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 11 hari hingga semalam (Khamis, 15 Jun), menyaksikan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, yang sebelum ini dikenali RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, masih tidak boleh diluluskan.
Sebaliknya, RUU itu perlu dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin lalu (12 Jun), dipetik berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas masyarakat, khususnya melalui sesi libat urus pada 6 Mac lepas.
Beberapa pakar dan NGO kesihatan yang ditemu ramah Bernama menyifatkan keputusan itu perlu disusuli langkah yang dapat melindungi kesihatan masyarakat khususnya kanak-kanak, pada kadar segera, kerana ketika ini langsung tidak ada akta yang dapat mengawal ancaman rokok elektronik.
Selain itu, ada juga yang menuntut supaya persidangan Dewan Rakyat dilanjutkan beberapa hari lagi agar RUU tersebut dapat dibahaskan dan terus diluluskan tanpa bertangguh lagi.
"Vap belum ada undang-undang jelas di negara ini, sebab itu kami (pakar dan NGO kesihatan) begitu mengharapkan RUU tersebut diluluskan. Masyarakat juga, berdasarkan satu tinjauan yang dilakukan KKM sebelum ini, turut mengharapkannya, namun masih tidak menjadi kenyataan.
"Oleh sebab itu, lebih baik keputusan mengecualikan cecair vap nikotin daripada Akta Racun ditangguhkan pelaksanaannya pada kadar segera, sehingga undang-undang tersebut dapat dikuatkuasakan, bagi mengelakkan risiko negara melahirkan generasi penagih nikotin," kata pakar perubatan keluarga Dr Suhazeli Abdullah kepada Bernama.
EMPAT BULAN LAGI?
Terkenal dengan kelantangan bersuara tentang vap menerusi akaun media sosial beliau, Dr Suhazeli berkata langkah tersebut harus dilaksanakan segera kerana sesi persidangan Parlimen seterusnya yang memungkinkan RUU itu dibahaskan dan diluluskan ialah pada Oktober ini.
Bermakna, selama empat bulan akan datang, rakyat akan terus terdedah kepada bahaya rokok elektronik yang dilaporkan adalah punca pelbagai masalah kesihatan.
KKM sebelum ini dilaporkan menerima sebanyak 17 kes berkaitan rokok elektronik (Evali) pada tahun ini setakat awal Jun. Situasi di luar negara seperti Amerika Syarikat misalnya, adalah lebih serius dengan kira-kira 2,800 kes Evali direkodkan termasuk 68 kematian.
Sementara itu, Pusat Racun Negara merekodkan sebanyak 77 kes pendedahan kepada nikotin (keracunan nikotin) daripada rokok elektronik bagi tempoh 2015 hingga 2022, dan untuk tahun ini, setakat artikel ini ditulis, sebanyak tujuh kes direkodkan dengan lima kes membabitkan kanak-kanak.
Pusat itu juga sebelum ini melaporkan ia menerima kes membabitkan pesakit paling muda, iaitu berusia tiga bulan, yang terminum cecair vap. Malah, pusat itu juga mendedahkan belakangan ini ia mengesan banyak kes membabitkan kanak-kanak berusia seawal setahun cuba menghisap vap generasi terbaharu dalam bentuk pod yang mempunyai nikotin berkepekatan tinggi.
Mengulas perkara itu, Dr Suhazeli berkata biarpun usia peranti rokok elektronik ini masih baharu berbanding rokok konvensional, semakin banyak kajian tempatan dan luar negara membuktikan penggunaan vap membawa kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.
"Baru-baru ini, seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dilaporkan maut, disyaki akibat Evali, dan hasil siasatan juga mendapati remaja perempuan ini tidak mempunyai sejarah penyakit namun punya sejarah menghisap vap selama tiga tahun.
"Bayangkan hanya dalam tempoh hampir 10 tahun (sejak vap memasuki negara ini secara komersial pada 2015), sudah mencetuskan penyakit baharu, Evali, kerosakan pada paru-paru akibat vap. Ini merupakan satu situasi yang mencemaskan, dan kita tidak mahu situasi ini menjadi bertambah parah akibat ketiadaan kawalan," katanya.
Biarpun kebanyakan kajian yang ada ketika ini lebih kepada impak jangka pendek memandangkan rokok elektronik hanya mula berada di pasaran global pada 2004 berbanding rokok konvensional, tidak mustahil kesannya akan lebih teruk pada masa akan datang.
Ulas beliau, satu kajian pada 2021 bertajuk "Characterizing the Chemical Landscape in Commercial E-Cigarette Liquids and Aerosols by Liquid Chromatography-High-Resolution" mendapati ada lebih 2,000 jenis bahan kimia berbahaya dalam bentuk wap atau aeorosol rokok elektronik di pasaran, sekali gus merisikokan masyarakat kepada pelbagai masalah kesihatan.
GENERASI DWIPENGGUNA?
Malah, Dr Suhazeli mengukuhkan pandangannya dengan merujuk laporan "A Systematic Review of Health Effects of Electronics Cigarettes" yang membuktikan penggunaan rokok alaf baharu ini berisiko tinggi menyebabkan kerosakan sel badan manusia dan pelbagai komplikasi penyakit berikutan tindak balas daripada campuran bahan kimia dalam cecair vap berkenaan.
Ini termasuklah ketagihan nikotin yang tinggi, kata beliau serta menambah beberapa kajian sebelum ini juga menunjukkan kebergantungan pada cecair itu adalah lebih tinggi berbanding bahan-bahan dan dadah terlarang yang lain seperti morfin dan heroin.
Berdasarkan penemuan itu, Dr Suhazeli dan beberapa pakar lain yang ditemu ramah Bernama, menyangkal dakwaan pihak industri yang sering kali mempromosikan vap sebagai alternatif terbaik dan lebih selamat dalam membantu perokok menghentikan tabiat mereka.
Menurut pakar, rokok elektronik pada hakikatnya bukanlah kaedah terbaik untuk berhenti merokok kerana pengguna berpotensi menelan nikotin pada kadar lebih tinggi berbanding rokok, dan akhirnya bukan sahaja gagal keluar daripada ketagihan tetapi turut menjadi dwipengguna, iaitu menghisap rokok konvensional dan rokok elektronik.
Laporan Surgeon General, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat pada 2020, menunjukkan penggunaan vap tidak berkesan dalam membantu perokok menghentikan tabiat mereka. Dapatan serupa turut didedahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi laporan teknikalnya pada 2021.
Malah, tinjauan di beberapa negara maju yang menggunakan konsep "pengurangan kemudaratan tembakau" menggunakan rokok elektronik menunjukkan peningkatan bilangan perokok vap atau rokok konvensional atau kedua-duanya, terutama dalam kalangan remaja.
"Jumlah nikotin yang terdapat di dalam rokok adalah antara enam hingga 28 miligram (mg). Jumlah ini besar julatnya kerana bergantung pada jenis rokok dan kualiti tembakau.Itupun rokok ada penapis di pangkalnya dan perokok hanya dapat menyedut kandungan nikotin kurang daripada dua mg (1.1 - 1.8 mg).
"Walaupun hanya dua mg yang disedut, tetap ada bahan berbahaya, dan nikotin itu sendiri menyebabkan ketagih. Bayangkan perokok tegar habiskan sekotak sehari, bermakna dia sudah sedut 22 hingga 36 mg nikotin ke dalam tubuh.
"Sementara vap pula disedut secara terus tanpa tapisan, dan kajian mendapati 15 sedutan vap mengandungi 15.4 mg nikotin," jelas beliau.
Menurut beliau lagi, semua nikotin tersebut akan masuk ke dalam paru-paru, meresap ke dalam darah dan terus ke otak, menyebabkan seseorang dapat merasai kesan nikotin seawal 10 saat pertama.
"Bayangkan jika menghisap vap ini puluhan kali sehari. Jika 10 kali, bermakna seseorang itu sudah menyedut 154 mg nikotin, iaitu tujuh kali ganda berbanding rokok biasa," katanya.
BENARKAH 95 PERATUS SELAMAT?
Sehubungan itu, beliau menasihati mereka yang serius ingin berhenti merokok agar mendapatkan rawatan di Klinik Berhenti Merokok yang diwujudkan di klinik-klinik kesihatan berdekatan, kerana nikotin daripada ubat-ubatan berhenti merokok yang diluluskan oleh KKM telah melepasi ujian klinikal dan terbukti selamat serta berkesan membantu perokok berhenti merokok.
Malah, katanya, ubat itu tidak menghantar nikotin ke otak dengan cepat atau dalam kuantiti tinggi sepertimana rokok atau vap.
Penggunaan ubat sebegini juga biasanya selama tiga bulan sahaja, tambah beliau.
Penulis turut menemu ramah dua penagih nikotin konvensional dan vap yang mengakui rokok alaf baharu ini tidak seperti yang didakwa, iaitu menjimatkan. Malah, rokok elektronik menjadikan mereka berdua dwipengguna.
Razak Soleiman, 18, pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Lembah Klang, berkata rokok konvensional menjadi pilihannya untuk melepaskan gian nikotin apabila wang saku menyusut.
"Vap ini memanglah boleh dapat bawah RM15, tapi jumlah puff (sedutan) sikit, 800 puffs. Kalau dah ketagih macam saya, 800 puffs sekejap sahaja habis, jadi kena beli puff yang tinggi atau isian semula, tetapi itu mahal juga.
"Dengan cukai sekarang, ada (harga) sudah cecah lebih RM25. Pelajar macam saya, (kalau) hendak beli sentiasa, teruk juga. Jadi, masa tidak ada duit, saya beralih kepada rokok yang dijual sebatang 50 sen," katanya yang sudah empat tahun menghisap vap dan tidak menyukai rokok biasa tetapi terpaksa mengambilnya bagi menghilangkan ketagihan.
Begitu juga dengan Nazim Ahmad, 27, pekerja swasta di Lembah Klang, yang akan menghisap vap ketika berada di kawasan larangan merokok atau semasa ingin mengikut trend anak muda sekarang.
Dia yang bermula dengan rokok konvensional ketika belajar di tingkatan dua, bagaimanapun lebih gemarkan rokok biasa, kerana menurutnya, memberikan kepuasan lebih maksimum, dan dia mampu menghabiskan hingga satu kotak yang mempunyai 20 batang rokok, dalam masa sehari.
Sememangnya, negara ketika ini berdepan impak yang sangat besar akibat tabiat merokok rakyat kerana terpaksa menanggung kos rawatan penyakit atau komplikasi akibat merokok yang tinggi berbanding hasil yang disumbangkan oleh industri berkenaan.
INDUSTRI DAN RUU
Kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM6.2 bilion bagi merawat pesakit berkaitan tabiat merokok pada 2020, dan jumlah itu dijangka meningkat hingga RM8.8 bilion menjelang 2030, kata Ketua Sustainable SmokeFree Campus Community Flagship, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mohammad Haniki Nik Mohammed.
Untuk rokok elektronik pula, KKM menganggarkan kos rawatan bagi penyakit berkaitan mencecah RM150,000 bagi tempoh 12 hari kemasukan ke wad. Sebanyak 38 kes penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik termasuk Evali, dilaporkan KKM bagi tempoh 2022 hingga sekarang.
"Laporan Public Health of England (PHE) 2015 yang menyatakan vap 95 peratus lebih selamat daripada rokok yang banyak diuar-uarkan oleh pemain industri ketika ini, adalah naratif yang tidak berdasarkan bukti saintifik.
"Malah, beberapa kajian ketika ini juga mendapati tiada perbezaan antara kadar penyakit berkaitan merokok dalam kalangan pengguna e-rokok yang dilaporkan enam tahun kemudian. Jelas, penggunaan vap yang dianggap selamat itu bukanlah sepertimana dakwaan pihak industri," katanya.
Sehubungan itu, amat penting RUU berkenaan dilaksanakan segera, dan jika masih belum dapat diluluskan, pakar berpandangan pengecualian cecair vap nikotin daripada senarai bahan terkawal Akta Racun 1952 ditangguhkan sementara pelaksanaannya sehingga RUU tersebut dikuatkuasakan.
Setelah RUU berserta dasar Generasi Penamat (GEG) berjaya diluluskan, barulah pengecualian itu dilaksanakan kembali bagi tujuan mengutip cukai sebagai antara pendekatan jangka sederhana untuk mengawal selia produk merokok mengandungi nikotin serta menghentikan tabiat merokok rakyat negara ini.
Bagi industri, mereka tidak ada masalah dan menyambut baik pelaksanaan RUU berkenaan. Penulis ketika menghadiri Bengkel Media Antarabangsa RELX anjuran RELX International, di Manila, Filipina baru-baru ini, dijelaskan bagaimana industri boleh bekerjasama dengan kerajaan dalam membanteras rokok elektronik haram.
"Di Filipina, program 'Golden Shield' kami sangat aktif. Kami bekerjasama dengan pihak penguat kuasa untuk membanteras perniagaan produk vap haram. Kami juga membuat laporan kepada pihak berkuasa tentang peniaga yang dikesan mengimport produk vap dalam jumlah besar tanpa melunaskan cukai yang sepatutnya," kata Patrick Drilon, Ketua Hal Ehwal Luar, RELX International Filipina.
Kerjasama antara RELX International dengan kerajaan Filipina membuktikan pemain industri turut terkesan dek kewujudan vap dan rokok haram, sekali gus menuntut kesegeraan RUU itu diluluskan dan dikuatkuasakan bagi menangani lambakan rokok elektronik khususnya. - BERNAMA
Bernama
Fri Jun 16 2023
Isu vap yang sebelum ini menjadi topik perdebatan sebaik kerajaan mengeluarkan cecair rokok elektronik atau vap yang bernikotin daripada senarai bahan terkawal Akta Racun 1952 pada awal tahun ini, kembali hangat dibahaskan. - Gambar hiasan
Pesakit di Hospital Indonesia di Gaza kelaparan
Kementerian Kesihatan Gaza berkata pada Selasa bahawa terdapat sekurang-kurangnya 60 pesakit dalam risiko tinggi.
Thailand ambil langkah komprehensif tangani cuaca buruk, dijangka melanda minggu ini
Jabatan Pengairan Diraja juga telah diarahkan membersihkan saluran air daripada rumpai dan halangan untuk mengelakkan banjir.
10 Berita Pilihan - (11 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
AWANI Tonight 11 Dec 2024
#AWANITonight with @Hafiz_Marzukhi
1. PSC proposes measures to tackle growing insurance costs
2. Malaysia on track to achieve high-income status by 2027, says Rafizi
#AWANIEnglish #AWANINews
1. PSC proposes measures to tackle growing insurance costs
2. Malaysia on track to achieve high-income status by 2027, says Rafizi
#AWANIEnglish #AWANINews
Johor, MOT wujudkan pasukan petugas khas bincang isu kesesakan, penyuraian trafik RTS
Pelbagai isu dan inisiatif dibincangkan dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya khususnya di Johor Bahru dan Lembah Klang.
Lima anggota, pegawai polis tolak rasuah terima penghargaan KPN
Razarudin merakamkan ucapan tahniah kepada mereka kerana berpegang teguh dengan prinsip integriti ketika menjalankan tugas menjaga sempadan negara.
Libat urus telah diadakan sebelum putuskan tambah waktu bekerja jururawat - Dr Dzulkefly
Keputusan itu telah melalui beberapa pusingan libat urus termasuk dengan tujuh kesatuan sekerja termasuk persatuan jururawat.
AWANI Tonight: Flour ban deepens food crisis, cracker prices soar
The Israeli army's blockade of flour into Gaza has exacerbated the humanitarian crisis, causing a severe shortage of bread for displaced Palestinians.
AWANI Tonight: Astro's turnaround, new TV packs, and Premier League rights
Astro Malaysia Holdings Bhd reported a net profit of RM46.94 million for Q3 2024, introduced new TV packs, and renewed Premier League and FA Cup broadcasting rights through 2028.
AWANI Tonight: Govt probes alleged mishandling of deceased baby’s body
The Health Ministry has launched an investigation into the claim that a private hospital stored a newborn’s body in a freezer for two weeks, due to the father’s inability to pay the medical bills.
Tangguh dulu pengecualian cecair vap nikotin daripada Akta Racun 1952
Belum ada undang-undang yang jelas mengenai vap di negara ini.