MUAR: Tangisan anak bongsu mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Komander Muhamad Amir Mohamad mengiringi proses pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Felcra, Bukit Kepong, Muar malam tadi.

Jenazah Allahyarham, yang juga Pegawai Memerintah Skuadron 502 TLDM itu, selamat dikebumikan di kampung halamannya itu tepat pada jam 12.30 malam.

Suasana pilu menyelubungi kawasan tanah perkuburan itu apabila anak bongsunya, Muhamad Yusof, yang berusia tiga tahun, menangis berteriak memanggil ayahnya ketika proses pengebumian dilakukan sebelum ditenangkan oleh ibunya Marliyati Basri, 40.

Terdahulu, jenazah juruterbang helikopter Fennec yang terlibat dalam nahas berkenaan sebelum itu, dibawa ke Masjid al-Muqorobbin, yang terletak kira-kira 500 meter dari kediaman keluarganya untuk disembahyangkan buat kali kedua.

Van jenazah yang membawa Allahyarham dan diiringi polis sebelum itu dibawa melintasi hadapan rumah kediaman keluarga sebelum tiba di masjid pada jam 10.45 malam.

Lebih 500 jemaah bersama-sama memberi penghormatan terakhir dan menyertai solat jenazah sebelum dibawa ke kawasan tanah perkuburan pada jam 12 malam.

Upacara pengebumian dilakukan dengan istiadat ketenteraan dan dihadiri oleh kira-kira 1,000 ahli keluarga, sahabat handai dan penduduk setempat.

Allahyarham Muhamad Amir meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia 16, 14 dan tiga tahun.

Allahyarham merupakan juruterbang pesawat Fennec yang terlibat nahas ketika mengikuti latihan sempena hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut bersama helikopter operasi maritim (HOM-AW139).

Difahamkan Allahyarham menyertai pasukan TLDM sebaik menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1997.