Skip to main content

Malaysia

Tapak pasar malam kecoh digempur, 45 kompaun dikeluarkan

Sumber: MPKS
JIM Selangor memeriksa 83 warga asing dan menahan 12 individu bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen. - Foto MPKS
Advertisement

KUALA SELANGOR: Tapak Pasar Malam Taman Industri Alam Jaya di Bandar Puncak Alam menjadi tumpuan apabila satu operasi bersepadu dijalankan bagi membanteras pelbagai pelanggaran peraturan perniagaan melibatkan peniaga tempatan dan warga asing.

Operasi yang diketuai Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Selangor.

Menurut MPKS dalam satu kenyataan hari ini, operasi berkenaan berlangsung dari jam 4 petang hingga 1 pagi dan membabitkan seramai 96 pegawai serta anggota daripada agensi terlibat.

Operasi itu dilaksanakan susulan hasil pemantauan dan risikan yang mendapati terdapat peniaga menggunakan khidmat pekerja warga asing, selain warga asing sendiri dikesan menjalankan aktiviti perniagaan di tapak pasar malam berkenaan.

MPKS menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar syarat lesen atau menjalankan perniagaan secara tidak sah.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 34 premis perniagaan diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya beroperasi tanpa lesen yang sah.

Susulan itu, MPKS mengeluarkan 34 kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007.

Selain itu, satu lagi kompaun dikenakan terhadap pemegang lesen yang didapati melanggar syarat lesen kerana menggajikan pekerja warga asing.

Menurut MPKS, tindakan penguatkuasaan itu bertujuan memastikan persaingan perniagaan yang adil, memelihara ketenteraman awam serta melindungi hak peniaga yang mematuhi peraturan ditetapkan.

Sepanjang operasi, sebanyak 26 notis arahan menghentikan perniagaan dan satu notis amaran dikeluarkan, manakala 27 premis diarahkan ditutup kerana pelbagai pelanggaran syarat lesen.

MPKS turut melaksanakan lima tindakan sitaan membabitkan pelbagai peralatan perniagaan termasuk khemah, payung, meja, alat penimbang, tong ikan, bakul sayur dan kelengkapan lain yang digunakan oleh peniaga.

Dari aspek kebersihan, sebanyak 11 kompaun dikeluarkan terhadap peniaga yang gagal memastikan kawasan perniagaan berada dalam keadaan bersih mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007.

Selain itu, satu lesen perniagaan turut ditarik balik kerana melanggar syarat yang ditetapkan.

Sementara itu, JIM Selangor memeriksa 83 warga asing dan menahan 12 individu bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen.

PKD Kuala Selangor pula mengeluarkan lapan Notis 32B atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Dalam perkembangan sama, JKM Daerah Kuala Selangor menyelamatkan dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai warga Kemboja sebelum ketiga-tiganya diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Secara keseluruhan, operasi bersepadu itu merekodkan 34 pemeriksaan, 27 penutupan premis, satu penarikan lesen, lima tindakan sitaan, 45 kompaun serta 34 notis bagi pelbagai kesalahan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement