BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengarahkan pengurusan Suling Hill di Penanti di sini menghentikan aktiviti tapak perkhemahan tersebut serta-merta kerana berisiko kerana berada di kawasan yang mempunyai cerun.

Dalam kenyataan hari ini, MBPP memaklumkan susulan daripada arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan berkenaan pemberhentian sementara operasi tapak perkhemahan yang berisiko, pihak MBSP telah menjalankan pemantauan bagi mengenalpasti tapak-tapak perkhemahan yang terdapat di seluruh Seberang Perai.

"Hasil daripada pemantauan yang dijalankan mendapati terdapat dua tapak perkhemahan di Seberang Perai iaitu di Kampung Agong, Penaga di daerah Seberang Perai Utara dekat sini dan Suling Hill di Penanti," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan daripada dua tapak perkhemahan tersebut, hanya tapak di Suling Hill yang berisiko serta berada di kawasan yang mempunyai cerun dan pihak MBSP telah mengeluarkan notis bagi menghentikan aktiviti tapak perkhemahan tersebut serta-merta.

MBSP memaklumkan susulan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Fathers' Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, Selangor, awal pagi semalam, penduduk Seberang Perai diingatkan untuk tidak mengadakan sebarang aktiviti riadah di sekitar kawasan yang berisiko berlakunya bencana alam.

"Notis itu ekoran sebagaimana yang sedia maklum bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran semalam mengenai ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berterusan sehingga 20 Dis ini.

Sehubungan itu MBSP, mengingatkan agar penduduk Seberang Perai menjauhi semua lokasi yang berkemungkinan berisiko menghadapi bencana alam.

-- BERNAMA