NATIONAL
Tarif balas AS: Sidang khas Parlimen untuk perpaduan dasar negara - Prof Wong

Prof Wong Chin Huat berkata sidang khas berperanan sebagai medan penting bagi ahli-ahli Parlimen menyuarakan kebimbangan serta saranan mewakili rakyat dalam menghadapi tekanan ekonomi akibat tindakan pentadbiran Trump.
KUALA LUMPUR: Sidang khas Parlimen yang bakal diadakan bagi membincangkan impak tarif balas Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia disifatkan sebagai langkah penting dalam merangka dasar negara yang inklusif dan berpandukan suara rakyat.
Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDSN), Prof Wong Chin Huat berkata, walaupun sidang khas tersebut tidak melibatkan pembentangan rang undang-undang atau usul untuk diundi, ia berperanan sebagai medan penting bagi ahli-ahli Parlimen menyuarakan kebimbangan serta saranan mewakili rakyat dalam menghadapi tekanan ekonomi akibat tindakan pentadbiran Trump.
“Sidang khas ini membolehkan wakil rakyat, baik dari kerajaan mahupun pembangkang, menyuarakan pandangan mereka dalam suasana terbuka dan inklusif.
“Kita tidak mahu membuat dasar secara tertutup tanpa libat urus yang meluas. Apa yang berlaku di Amerika Syarikat sewaktu pentadbiran Trump – apabila keputusan besar dibuat secara unilateral tanpa perundingan menyeluruh – telah mengakibatkan banyak sektor di AS sendiri terkesan,” ujar beliau.Prof Wong menegaskan, pendekatan ini juga dapat mengelakkan wujudnya rasa tercicir dalam kalangan rakyat apabila hanya sebahagian pihak dilihat diberi perhatian oleh kerajaan.
“Kita perlu pastikan tiada yang tertinggal. Kalau ada kecemburuan sosial atau rasa pilih kasih, ia akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap dasar kerajaan,” katanya.
Mengulas komposisi sidang khas itu, Prof Wong menjelaskan bahawa lapan ahli Parlimen kerajaan barisan belakang dan lima wakil pembangkang telah diberikan ruang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan, sebagai manifestasi muafakat rentas parti.
Dalam pada itu, beliau turut menarik perhatian kepada amalan serupa di negara-negara lain dalam menghadapi cabaran dasar luar seperti ini.
“Di Jepun misalnya, Perdana Menteri mengadakan mesyuarat bersama parti kerajaan dan pembangkang bagi mencari persefahaman bersama. Walaupun Jepun sekutu rapat AS, mereka tetap mengambil pendirian tegas agar tidak tunduk kepada tekanan,” jelasnya.
Tambah beliau, perpaduan politik yang merentasi garis kepartian amat kritikal agar kerajaan tidak dilihat lemah ketika berunding di pentas antarabangsa.
“Jika tiada kesepaduan dalaman, dasar yang dirangka akan mudah diserang dari dalam dan ini hanya akan melemahkan kedudukan negara dalam rundingan luar,” tegasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami