KUALA LUMPUR: Struktur tarif elektrik perlu mengambil kira kemampuan isi rumah dan bukan ditentukan berdasarkan jumlah penggunaan semata-mata.
Provost dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Malaysia University of Science and Technology (MUST), Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, kaedah berdasarkan penggunaan mungkin bersifat objektif, namun tidak menggambarkan kemampuan sebenar pengguna untuk membayar bil elektrik.
“Kadar penggunaan ini walaupun objektif, tetapi ia tidak membayangkan kemampuan.
“Kalau matlamat kita ialah kesejahteraan rakyat, kita perlu mengubah sedikit daripada berasaskan kadar penggunaan kepada kadar kemampuan mengguna,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Menurut beliau, kemampuan itu boleh dinilai dengan membandingkan bil elektrik bulanan dengan pendapatan atau keupayaan perbelanjaan sesebuah isi rumah.
Pendekatan tersebut, katanya, dapat mengelakkan pengguna daripada terpaksa mengurangkan penggunaan elektrik bagi keperluan asas hanya kerana tidak mampu menanggung kenaikan bil.
Barjoyai berkata, peningkatan harga bahan api global boleh menaikkan kos penjanaan elektrik, sebelum kesannya dirasai pengguna menerusi bil yang lebih tinggi.
Kos elektrik yang meningkat juga boleh menambah kos operasi perniagaan dan mendorong kenaikan harga barang, sekali gus menekan kuasa beli serta kesejahteraan isi rumah.
Justeru, beliau berpandangan kerajaan perlu mempercepat pelaburan jangka panjang dalam tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pasaran dan ekonomi luar.
“Kerajaan perlu melabur dalam jangka panjang dalam bentuk tenaga yang boleh diperbaharui, tenaga yang kekal, yang dapat wujud secara berterusan dalam negara tanpa bergantung kepada ekonomi luar,” katanya lagi.
Antara sumber tenaga yang dicadangkan termasuk solar, hidrogen hijau, hidrogen biru dan biomas.
Menurutnya, pembangunan sumber tenaga domestik yang lebih stabil merupakan antara infrastruktur penting yang perlu diberi perhatian dalam tempoh terdekat.