Tarif rendah akan tingkatkan daya saing minyak sawit Malaysia di pasaran AS - MPOB

Malaysia bakal mendapat manfaat daripada keputusan AS untuk menurunkan tarif di bawah 19 peratus ke atas 1,711 produk eksport negara, termasuk minyak sawit dan produk koko. - Gambar hiasan Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia bakal mendapat manfaat daripada keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menurunkan tarif di bawah 19 peratus ke atas 1,711 produk eksport negara, termasuk minyak sawit dan produk koko, yang dijangka meningkatkan daya saing harganya di pasaran AS.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, langkah AS untuk memberikan tarif lebih rendah terhadap produk minyak sawit dan minyak isirong sawit, serta derivatif oleokimia berasaskan sawit seperti asid lemak dan alkohol lemak, merupakan satu kemajuan besar bagi industri hiliran Malaysia.
"Vitamin A dan E daripada minyak sawit juga mendapat manfaat daripadanya, dan ini akan meningkatkan daya saing pengeksport Malaysia, terutamanya berbanding negara pengeluar lain," katanya kepada Bernama.
Ahmad Parveez berkata, langkah itu berkesan mengurangkan kos pendaratan produk Malaysia, memberikan kelebihan komersial yang dapat mengukuhkan kedudukan negara di pasaran AS.
"Selain penetapan harga, kadar yang memberi kelebihan ini juga akan memacu pengembangan eksport hiliran nilai tambah, terutamanya dalam sektor oleokimia," katanya.
Beliau juga berkata, kelebihan harga langsung itu melengkapkan usaha berterusan Malaysia meningkatkan kemampanan negara yang sekali gus membantu industri menarik minat pembeli bernilai tinggi dan yang mementingkan kualiti di AS.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Ahad mengumumkan, sehingga 1,711 produk eksport Malaysia ke AS bakal menikmati kadar tarif yang lebih rendah daripada 19 peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang ditandatangani antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, senarai itu termasuk minyak sawit, getah, koko serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa.
"Eksport ini secara keseluruhannya berjumlah kira-kira US$5.2 bilion (US$1 = RM4.221) daripada jumlah eksport kita ke AS, iaitu sebanyak 12 peratus daripada jumlah eksport kita," katanya pada sidang media, di sini, pada Ahad.
Kadar tarif yang lebih rendah itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas pertukaran dokumen antara kedua-dua negara sebagai sebahagian daripada proses perundangan.
Menerusi satu kenyataan bersama, Kuala Lumpur dan Washington berkata, AS telah mengenal pasti produk daripada senarai dalam Lampiran III Perintah Eksekutif 14346 bertarikh 5 Sept 2025, mengenai Potensi Pelarasan Tarif bagi Rakan Bersekutu untuk mendapat kadar tarif timbal balas sifar peratus.
AS juga komited untuk mengekalkan tarif timbal balas sebanyak 19 peratus yang kali pertama dinyatakan dalam Perintah Eksekutif 14257 bertarikh 2 April 2025, seperti yang dipinda, ke atas barangan dari Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


