KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa mengarahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba untuk menarik semula peraturan kuarantin baharu bagi memastikan tiada layanan berbeza di dalam prosedur operasi standard (SOP) kuarantin COVID-19.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, Muhyiddin perlu mengotakan janji yang dibuat beliau dalam perutusan khas Oktober lalu bahawa kerajaan tidak akan memberikan layanan berbeza dalam soal pematuhan SOP kuarantin.

“Namun, adakah janji Perdana Menteri ini tidak mempunyai sebarang makna sekiranya Menteri Kesihatan kini boleh mewartakan layanan berbeza dalam pematuhan SOP kuarantin COVID-19 untuk para menteri yang menjadikan penegasan Perdana Menteri pada bulan Oktober tahun lepas untuk tidak masuk akal sama sekali?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan tempoh kuarantin bagi menteri yang pulang dari mana-mana lawatan rasmi luar negara dikurangkan daripada 10 hari kepada tiga hari berkuat kuasa, Rabu, 9 Februari 2021.

Pengumuman itu turut mencetuskan debat dan kemarahan orang ramai di laman sosial.

BACA: COVID-19: Tempoh pemerhatian menteri pulang dari luar negara dikurangkan kepada 3 hari

"Dalam siaran langsung beliau pada Oktober tahun lepas, Muhyiddin telah mengatakan: “Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat. Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan!”

“Adakah beliau akan menggunakan rotan terhadap Menteri Kesihatan beliau sendiri?” soal Kit Siang lagi.

Mengulas lanjut Kit Siang berkata, tindakan tersebut bertentangan dengan usaha mengembalikan kepercayaan, keyakinan dan sokongan rakyat terhadap strategi kebangsaan untuk melawan COVID-19.

“Beliau (Muhyiddin) juga perlu beringat kepada jaminan perlembagaan yang menjamin kesamarataan untuk semua rakyat Malaysia seperti yang termaktub dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.