KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan tarikh akhir bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2022 (TT 2022) bagi pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan adalah pada 30 April secara manual dan 15 Mei bagi e-Filling.

Menurut LHDN dalam kenyataan hari ini, ia meliputi pembayar cukai kategori Individu Pemastautin (BE), Individu Pemastautin (pekerja berpengetahuan / berkepakaran) (BT), Individu Bukan Pemastautin (M), Individu Bukan Pemastautin (pekerja berpengetahuan) (MT), Pertubuhan (TF), Harta Pusaka (TP) dan Keluarga Sekutu Hindu (TJ).

"Sebagai panduan berkenaan pengemukaan BN, pembayar cukai boleh merujuk kepada Program Memfail BN bagi tahun 2023 yang boleh diakses dan dimuat turun menerusi pautan https://www.hasil.gov.my/media/lq5fu3zd/20230324-program-memfailborang-nyata-bn-bagi-tahun-2023.pdf," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, pembayar cukai disaran supaya mengemukakan BN dan membayar baki cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penalti dan kenaikan cukai dikenakan.

Dalam kenyataan sama, LHDN memaklumkan pembayar cukai juga dinasihatkan supaya mengisi maklumat diri dan perbankan yang tepat serta terkini bagi membantu kelancaran proses bayaran balik cukai.

"Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/public," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA