Penubuhan Taska Permata Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) perlu diperluaskan di seluruh cawangan kecil termasuk di setiap daerah, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata kewujudan taska berkenaan memberi keselesaan kepada ibu bapa yang majoritinya penjawat awam untuk menjalankan tugasan harian dengan lebih fokus kerana keselamatan anak-anak dalam keadaan baik dan terjamin.

"Di samping itu ia membolehkan para ibu bapa melawat keadaan anak-anak mereka pada bila-bila masa sahaja," kata Rosmah, yang juga penaung Puspanita, pada majlis perasmian mesyuarat agung perwakilan Puspanita yang ke-35 di sini hari ini.

BACA: Tanggapan bahawa program Permata elitis tidak berasas

BACA:
Najib harap lebih banyak program, pusat Permata diwujudkan seluruh negara

Beliau berkata pada masa ini terdapat 31 buah Taska Permata Puspanita di cawangan Puspanita di seluruh negara dan beliau amat memahami keperluan pusat penjagaan yang selamat serta terjamin untuk anak-anak.

"Kajian menunjukkan bahawa masa depan kanak-kanak amat bergantung kepada peluang pendidikan awal yang diterima sebelum berumur empat tahun," katanya.

Justeru, katanya, pada peringkat umur berkenaan kanak-kanak tersebut perlu diberi pendidikan awal berkualiti oleh pengasuh yang terlatih.

Rosmah dalam ucapannya itu juga mengingatkan penjawat awam wanita supaya mengutamakan amalan kerja terbaik kerana ia adalah cerminan kepada kewibawaan perkhidmatan awam.

"Anda mesti bersungguh dan serius dalam sebarang tugas yang diamanahkan, fokus, disiplin, tepati masa dan berkompetensi tinggi," katanya.

"Dengan ini tidak timbul lagi tanggapan bahawa berurusan dengan kerajaan adalah lambat, banyak kerenah birokrasi atau layanan kurang mesra," katanya lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Rohani Abdullah dalam ucapannya berkata keanggotaan Puspanita di seluruh negara kini telah mencapai 100,500 orang.

Pada majlis tersebut Rosmah turut menyampaikan sumbangan Puspanita berjumlah RM100,000 kepada Taska Puspanita cawangan kementerian dan negeri serta kunci kereta kenderaan pelbagai guna Proton Exora kepada Institut Kanser Negara.

Sementara itu, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad menerima anugerah pencapaian sepanjang hayat di atas sumbangan beliau kepada Puspanita.

-- BERNAMA