Taufan Kalmaegi: Malaysia zahir takziah kepada Filipina - PM Anwar

Menurut Perdana Menteri Anwar, laporan mengenai banjir besar, tanah runtuh serta kemusnahan kediaman dan infrastruktur akibat taufan itu amat memilukan. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas kehilangan nyawa serta kemusnahan besar yang dialami rakyat Filipina akibat Taufan Kalmaegi.
Perdana Menteri berkata, laporan mengenai banjir besar, tanah runtuh serta kemusnahan kediaman dan infrastruktur akibat taufan itu amat memilukan.
“Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa serta semua yang terkesan akibat tragedi ini,” kata beliau dalam hantaran di akaun media sosial, hari ini.
Anwar turut menitipkan doa dan harapan agar rakyat Filipina tabah menghadapi dugaan serta berjaya membina semula kehidupan dan komuniti mereka yang terjejas.
Taufan Kalmaegi telah meragut sekurang-kurangnya 114 nyawa, sementara 127 individu masih dilaporkan hilang di beberapa wilayah tengah negara itu.
Beberapa kawasan bandar dan pinggir bandar dilanda banjir besar serta tanah runtuh dengan banyak rumah dan kenderaan dibawa arus deras, manakala penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung rumah menunggu bantuan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


