TAIPING: Usaha memulihara ekosistem paya bakau di Malaysia perlu dilakukan seiring dengan peningkatan taraf hidup komuniti yang kehidupan dan mata pencariannya bergantung pada kawasan tanah lembap di pesisir pantai itu, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh.
Beliau berkata walaupun hutan paya bakau memainkan peranan penting dalam melindungi kawasan pantai, memelihara biodiversiti dan menyimpan karbon, nilai sebenar ekosistem itu bukan hanya terletak pada fungsi alam sekitarnya, tetapi juga pada masyarakat, tradisi dan cara hidup yang dikekalkan.
"Di sebalik setiap ekosistem paya bakau, terdapat komuniti yang kehidupannya bergantung padanya, warisan ilmu tradisional yang diwarisi setiap generasi, industri yang berkembang di sekitarnya dan cara hidup yang terbentuk sekian lama.
"Persoalan sebenar ialah apakah makna pembangunan mampan sekiranya sesuatu ekosistem menjadi lebih bernilai, tetapi masyarakat yang hidup di sekitarnya tidak turut menikmati nilai tersebut?" katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa Model Kehidupan Mampan Kuala Sepetang di sini, hari ini.
Syed Ibrahim berkata Malaysia amat bertuah kerana dikurniakan dengan ekosistem semula jadi yang bernilai dan khazanah hutan yang kaya, termasuk hutan paya bakau dan hutan paya gambut, yang bertindak sebagai penampan semula jadi terhadap hakisan pantai dan banjir sambil menyokong aktiviti perikanan dan ekonomi yang lain.
Berkongsi lawatannya ke Hutan Paya Bakau Kuantan, Pahang baru-baru ini, Syed Ibrahim berkata pengalaman itu mengukuhkan lagi penghargaan beliau terhadap peranan penting paya bakau dalam melindungi alam sekitar dan menyokong kehidupan komuniti tempatan.
"Yang kelihatan sebagai ekosistem yang tenang sebenarnya bekerja tanpa henti setiap hari, melindungi pantai daripada hakisan dan banjir, menyediakan habitat kepada pelbagai spesies serta berfungsi sebagai ruang untuk masyarakat memahami alam semula jadi dengan lebih baik," katanya.
Beliau berkata usaha memulihara ekosistem paya bakau tidak seharusnya mengorbankan industri tradisional, sebaliknya perlu membuka peluang kepada inovasi dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
"Kami mahu hutan terus dipelihara, namun kami juga mahu industri tradisional terus berkembang dan berinovasi. Kami mahu kebijaksanaan generasi terdahulu terus dipelihara, di samping memastikan golongan muda melihat adanya masa hadapan dan peluang baharu dalam warisan ini," katanya.
Sehubungan dengan itu, Syed Ibrahim berkata inisiatif seperti Pengurangan Pelepasan daripada Penyahhutanan dan Kemerosotan Hutan (REDD Plus), karbon biru, kredit karbon, prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ekonomi hijau menjadi semakin penting.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang model ekonomi baharu mestilah dibina berasaskan data saintifik, pengukuran yang telus, integriti dan tadbir urus yang baik bagi memastikan keyakinan dan kepercayaan awam terus terpelihara.
"Dasar yang kita gubal, inovasi yang kita perkenalkan dan pelaburan yang kita laksanakan mesti memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat.
"Kelestarian sebenar dicapai apabila alam semula jadi dilindungi, ekonomi terus berkembang dan komuniti diperkasa untuk maju seiring dengan pemuliharaan alam sekitar," katanya.
-- BERNAMA