KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bakal menjadi pemangkin kepada 'gelombang biru pekat' yang akan diteruskan ke Melaka.
Menurut beliau, mandat yang diterima di Negeri Sembilan menjadi kesinambungan kemenangan di Johor dan diyakini mampu memperkukuh sokongan rakyat menjelang pilihan raya negeri seterusnya.
“Mandat dan keputusan ini akan terus membawa satu gelombang bagi kami meneruskan gelombang biru dan biru pekat yang telah bermula di Negeri Johor.
“Insya-Allah ia akan menular ke Negeri Melaka,” katanya ketika menyampaikan ucapan selepas keputusan tidak rasmi PRN Negeri Sembilan diumumkan pada Sabtu.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat itu, BN memperoleh 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memenangi tujuh kerusi sekali gus memberikan kedua-dua gabungan majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.
Katanya, BN dan PN akan mengadakan perbincangan susulan berhubung pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat.
Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat bukan alasan untuk mana-mana pihak bermegah, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi pentadbiran yang stabil, berwibawa dan berorientasikan kebajikan rakyat.
“Kepercayaan rakyat bukanlah alasan untuk kita bermegah, angkuh atau sombong.
“Sebaliknya, kemenangan dan mandat ini mesti dibalas dengan kerja keras, pentadbiran yang berwibawa serta khidmat yang terbaik kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada pengundi, jentera parti, sukarelawan dan semua pihak yang membantu sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.