Hari ini, ketiga sayap UMNO akan memulakan persidangan mereka selepas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikannya malam tadi.

Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri tentunya akan bersidang dengan mengambilkira amanat dan teguran yang disampaikan oleh Muhyiddin malam tadi.

Ucapan Muhyiddin malam tadi boleh dianggap paling berani dalam keadaan UMNO berada dalam keadaan kritikal dan perlu diterima oleh semua ahli dan pemimpin parti itu.

Bagi penganalisis politik, Dr Ahmad Masrizal Muhammd ucapan Muhyiddin itu dibuat bukan sekadar untuk membuat perubahan kepada UMNO tetapi untuk meningkat kepercayaan rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Ini adalah ucapan yang menyentuh semakan realiti kerana membina kepercayaan rakyat terhadap UMNO itu sangat penting.

"Apabila Timbalan Presiden UMNO membuat teguran tentunya ia disebabkan beliau mahu melihat UMNO benar-benar membuat perubahan bukan hanya cakap-cakap kosong sahaja.

"Jika teguran atau amanat oleh Timbalan Presiden UMNO itu tidak boleh disahut oleh ahli dan pemimpin UMNO, maka tidak ada perubahan yang boleh dibuat," katanya kepada Astro AWANI.

UMNO
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri tentunya akan bersidang dengan mengambilkira amanat dan teguran yang disampaikan oleh Muhyiddin pada malam Selasa - Foto Bernama

Katanya, apabila teguran dibuat oleh orang nombor dua UMNO, maka rakyat akan melihat apakah ahli dan pemimpin parti itu sanggup untuk membuat perubahan itu atau tidak.

Menyentuh mengenai UMNO yang dikuasai warlord seperti yang diucapkan oleh Muhyiddin, Dr Ahmad Masrizal berkata perkara itu merupakan realiti yang harus diterima oleh ahli dan pemimpin parti itu jika mahu terus kekal relevan.

Katanya, selama ini rakyat terutama generasi muda melihat UMNO dikuasai oleh beberapa kerat warlord yang menyebabkan banyak perubahan yang dimahukan tidak dapat dilaksanakan.

"Inilah realitinya yang harus diterima oleh ahli dan pemimpin UMNO bahawa persepsi golongan muda terhadap parti itu adalah dikuasai oleh warlord.

"Orang muda melihat peluang untuk mereka dalam UMNO tidak ada kerana wujudnya warlord ini dan mereka ini juga yang banyak membuatkan UMNO tidak bergerak ke hadapan," katanya lagi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkongsi lima padangan yang diperolehinya daripada golongan muda terhadap UMNO.

Golongan muda, kata Muhyiddin berpendapat UMNO sedang mengalami defisit kepercayaan, parti fuedal, terdapat budaya play safe dan budaya pak turut, dikuasai warlord dan diancam oleh budaya ugut.