KUALA LUMPUR: Kemampuan Malaysia muncul sebagai sebuah negara kecerdasan buatan (AI) bukan ditentukan oleh kecanggihan teknologi semata-mata, sebaliknya kesiapsiagaan rakyat menguasai ilmu teknikal.
Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar berkata, pembangunan negara AI perlu berteraskan pembangunan modal insan.
Jelasnya, kebanyakan negara kini mempunyai akses kepada model AI dan infrastruktur digital, namun yang membezakan adalah keupayaan rakyat menggunakan teknologi tersebut secara produktif dalam pekerjaan, perniagaan dan kehidupan seharian.
“Kesediaan AI bukan hanya melibatkan jurutera, saintis data atau profesional teknologi.
“Ia merangkumi pelajar, usahawan, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia yang ingin kekal relevan dalam ekonomi masa depan.
“Sesebuah negara tidak akan berjaya dalam era AI jika tahap kesediaan itu hanya menjadi keistimewaan segelintir pihak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran gerakan nasional I’M AI READY sempena sambutan ulang tahun ke-25 PEOPLElogy, di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, peluang besar yang dibawa AI hanya dapat direbut sekiranya negara mempunyai tenaga kerja yang bersedia dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
“AI tidak menggerakkan ekonomi. Sebaliknya, manusia berkemahiran menggunakan AI yang akan memacu ekonomi itu.
“Infrastruktur penting, modal juga penting, tetapi penentu sebenar ialah manusia yang bersedia dan yakin untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Pembangunan bakat bukan sekadar pelengkap kepada strategi AI Malaysia, tetapi tunjang utama yang menyokong keseluruhan strategi tersebut,” katanya.
Sementara itu, sempena ulang tahun ke-25 penubuhan, syarikat transformasi tenaga kerja digital, PEOPLElogy melancarkan gerakan nasional I’M AI READY.
Ia menyasarkan penyertaan lima juta rakyat Malaysia menjelang 2028 bagi mempercepatkan kesiapsiagaan AI dan meningkatkan daya saing negara.
Gerakan tersebut memberi tumpuan kepada tiga komponen utama iaitu meningkatkan kesedaran awam mengenai AI, penilaian dan pendidikan AI serta kerjasama dengan pemain industri untuk memperkasa rakyat Malaysia dalam ekonomi AI.