KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan industri bagi memastikan kejayaan pelaksanaan perkhidmatan 5G dua fasa di negara ini.

Dalam kenyataan pada Rabu, TM berkata, pelaksanaan 5G di Malaysia menyaksikan bagi fasa pertama, 80 peratus daripada liputan perkhidmatan akan disediakan oleh Digital Nasional Bhd (DNB), manakala fasa kedua akan beralih kepada dua rangkaian.

"TM menyokong keputusan kerajaan untuk melaksanakan 5G secara dua fasa. Kami berharap untuk meneruskan peranan aktif dalam pelaksanaan 5G, memanfaatkan infrastruktur fiber di seluruh negara, platform digital yang meluas dan pengalaman pelaksanaan," katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB telah mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Fahmi berkata mesyuarat Kabinet hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju bahawa pelaksanaan 5G di bawah rangkaian tunggal akan diteruskan sehingga akhir 2023, manakala peralihan kepada model dwirangkaian akan dilaksanakan berpandukan syarat-syarat yang selari dengan amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, CelcomDigi Bhd berkata pihaknya mengakui keperluan untuk memperkenalkan 5G yang efisien berdasarkan model baharu yang dipertingkat.

"Langkah ini akan menawarkan liputan yang luas dan komprehensif, penerimagunaan yang menggalakkan dan memastikan kemampuan perkhidmatan 5G kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

U Mobile Sdn Bhd turut menyambut baik langkah kerajaan untuk beralih kepada dua rangkaian 5G seawal Januari 2024 berikutan pihaknya percaya langkah itu akan meningkatkan kecekapan dan menggalakkan penerimagunaan yang lebih baik kepada pengguna dan perusahaan.

"Selain itu, dwirangkaian 5G akan meningkatkan daya saing pasaran, mendorong kepada prestasi infrastruktur rangkaian yang lebih baik dan meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan," katanya.

Dalam pada itu, Maxis Bhd berkata pihaknya komited untuk bekerjasama dengan industri bagi mempercepat pelaksanaan 5G negara sejajar dengan aspirasi digital kerajaan.

"Syarikat mengakui kepentingan pelaksanaan 5G yang efisien dan manfaat ekonomi yang akan dibawa untuk semua rakyat Malaysia," katanya. - BERNAMA