PUTRAJAYA: Tempoh permohonan bagi membawa masuk pekerja asing telah dipendekkan daripada 29 bulan dan 13 hari kepada 15 bulan dan 23 hari.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia hanya akan berkuatkuasa apabila kuota untuk pengambilan pekerja asing kembali dibuka.

Buat masa ini, kuota pengambilan pekerja asing masih dibekukan dan Kabinet belum membuat sebarang ketetapan baharu berhubung perkara tersebut.

"Ini bermakna pengurangan signifikan sebanyak 46 peratus. Dari mana datangnya pengurangan ini? Kita ambil contoh misalnya tempoh bayaran levi ialah 30 hari tetapi data kita menunjukkan 70 peratus majikan selesai bayar dalam 15 hari.

"Begitu juga pas lawatan kerja sementara, imigresen mengeluarkan pas sebelum ini dalam tempoh 30 hari tapi komitmen kita antara sekarang ialah antara satu ke 15 hari," katanya dalam sidang media khas bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata kementeriannya bersama Kementerian Sumber Manusia akan menghantar kertas cadangan bagi mengembalikan semula penghantaran pulang pekerja asing menerusi Dasar Rekalibrasi, yang dihentikan tahun lalu.

"Langkah ini adalah dari maklum balas kedutaan negara sumber, mereka syor supaya ruang untuk penghantaran pulang rakyat mereka dibuka semula.

"Jadi dalam mesyuarat hari ini kita bersetuju untuk menimbangkan cadangan itu dan akan kemuka kepada jemaah menteri,"ujarnya.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memaklumkan kerajaan akan menyemak semula memorandum persefahaman (MoU) dengan 15 negara sumber mengenai pengambilan pekerja asing.

Antara perkara yang akan diteliti semula termasuklah yuran, kos dan syarat kontrak.

Ketika ini, 77 peratus daripada dua juta pekerja asing di Malaysia yang mempunyai permit kerja sementara adalah dari Bangladesh, Indonesia dan Nepal, membabitkan lima sektor industri.

Namun buat masa ini, hanya sektor perladangan dan pertanian yang mengalami kekurangan pekerja.

Selain tiga negara tersebut, 12 negara sumber lain bagi pekerja asing di Malaysia ialah Thailand, Kemboja, Myanmar, Laos, Vietnam, Filipina, Pakistan, Sri Lanka, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan dan India.