Tempoh reman suspek terakhir yang disyaki terlibat dalam kes membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada Mac disambung sehingga lusa (Khamis), selepas tempoh reman empat hari berakhir hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya akan menggunakan tempoh yang ada bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum suspek dibawa semula ke mahkamah untuk dituduh.

Ketika dihubungi, Wari berkata, setakat ini suspek mengaku bertanggungjawab bersama seorang lagi suspek yang dituduh sebelum ini dalam kes bakar kereta berkenaan.

Suspek yang masih lagi melengkapkan proses siasatan, akan terus berdepan proses pertuduhan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan sejurus tamat tempoh reman.

Perintah penyambungan penahanan reman itu, dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah pagi tadi.

Sebelum ini, seorang peniaga pasar malam, Mohd Azimar Abdul Razak, 36 tahun, bersama seorang suspek yang masih bebas, didakwa membakar kereta rasmi Mohd Asri.

Namun, Mohd Azimar yang didakwa pada 24 Mei lalu mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan.

BACA: Kereta rasmi Mufti Perlis dipercayai dibakar awal pagi Jumaat