KUCHING: Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis santapan malam di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi, sempena lawatan baginda ke negeri ini.

Majlis itu turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan ketiga-tiga timbalan beliau yang terdiri daripada Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Pada majlis santapan yang berlangsung selama sejam itu, baginda dipersembahkan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian tempatan, termasuk tarian aluan rampaian etnik Sarawak dan joget Melayu Sarawak.

Petang semalam, Tengku Hassanal meluangkan masa kira-kira hampir dua jam untuk melihat khazanah di Muzium Kebudayaan Borneo.

Hari ini, baginda berkenan berangkat ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Fort Magherita dan Tea House di Dataran Ibu Pertiwi serta berjalan melalui Jambatan Darul Hana di Tebingan Sungai Kuching.

Selasa merupakan hari kedua lawatan Tengku Hassanal di bandar raya ini dan program baginda turut melibatkan lawatan ke Algae Nursery Site Resintech Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Petros Multi-fuel Station Darul Hana dan River Cruise menyelusuri Sungai Sarawak. - BERNAMA