KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kebenaran Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memfailkan afidavit bagi memperbetulkan fakta didakwa tidak tepat dalam afidavit Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum dalam kes pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian semasa pendengaran permohonan kebenaran Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ini untuk memfailkan afidavit untuk membetulkan kesilapan fakta dalam afidavit dikemukakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ia berhubung dakwaan Presiden UMNO itu, bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari lalu, supaya Najib, 71, menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, mengesahkan demikian ketika ditemui selepas prosiding pada Khamis.

Semakan kehakiman itu bagi mencabar kewujudan perintah tambahan (titah adendum) yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Memetik laporan Berita Harian pada Khamis, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan itu atas alasan permohonan Najib ketika ini adalah sebelah pihak (ex-parte) dan tiada peruntukan undang-undang untuk Tengku Zafrul memasukkan afidavitnya ketika ini.
 
"Tengku Zafrul boleh mencuba semula (untuk memasukkan afidavit) sekiranya mahkamah membenarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Datuk Seri Najib," kata Ahmad Hanir, memetik laporan itu lagi. 

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata beliau membantah permohonan Tengku Zafrul bukan salah seorang pihak dalam permohonan semakan kehakiman Najib.
 
“Tiada prosedur, maka hakim menolak permohonan itu. Namun, jika (Najib) mendapat kebenaran (semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum), beliau (Tengku Zafrul) boleh memfailkannya kembali (mohon kebenaran fail afidavit).
 
Beliau menambah, Tengku Zafrul mungkin akan tidak berbuat demikian lagi, namun tidak rugi untuk mencuba. Alasan sama badan peguam tidak dibenarkan mengikuti kes kerana ia adalah ‘ex-parte’ (sebelah pihak),” katanya. 

Sebelum ini, pihak pembelaan Tengku Zafrul (beliau diwakili peguam Datuk Sunil Abraham) berkata afidavit diikrarkan Ahli MKT  UMNO itu adalah untuk menangani secara khusus pengataan terkandung dalam Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan oleh Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno pada 9 April lalu.

Menurutnya, ia berikutan terdapat fakta didakwa tidak tepat yang perlu diperbetulkan menurut bidang kuasa sedia ada mahkamah dan Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co. Beliau turut menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
 
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
 
Najib turut memohon perintah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda serta titah adendum, selain memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.