TAWAU: Laporan mendakwa tentera Sulu merancang menyerang Sabah yang tular di media sosial amat menggusarkan penduduk tempatan, khasnya di Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).

Walaupun perkara itu telah dinafikan oleh pihak berkuasa, namun laporan itu tetap memberi kesan kepada penduduk yang tidak mahu tragedi serangan di Lahad Datu pada 2013 berulang.

Peniaga di Pasar Tanjong Tawau, Juhairy Japri, 33, berkata keadaan itu mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk yang bimbangkan keselamatan diri dan keluarga selain menjejaskan ekonomi tempatan.

"Saya sebagai penduduk Tawau, sangat takut dengan ancaman-ancaman dari luar ini khususnya daripada orang yang duduk di Sulu. Selain itu, ekonomi penduduk Tawau akan terjejaslah sebab tindakan-tindakan begini yang menakutkan orang ramai, jadi kami sebagai peniaga pun susah untuk berniaga atas ancaman-ancaman sebegini," katanya.

BACA: Polis sangkal laporan plot terbaharu tawan Sabah dari selatan Filipina

BACA: Tentera Sulu: Perjumpaan 19 'datuk bandar' berkaitan usaha jaga keselamatan - Polis

Seorang penduduk, Abdul Latif Pudin, 44, yang bekerja sebagai mekanik, berkata penduduk haruslah memberikan kerjasama untuk menyalurkan maklumat aktiviti yang mencurigakan kepada pasukan keselamatan.

"Benda ini betul atau tidak betul amat merisaukan saya, walaupun pihak polis sudah mengatakan bahawa ini suatu cerita tidak betul, tapi bagi saya akan tetap merisaukan.

"Ia juga akan menjejaskan industri pelancongan dalam negara kita. Kita sebagai orang awam perlu memantau sebarang kegiatan dan melaporkan kepada pihak keselamatan sebarang aktiviti mencurigakan," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau(MPT), Joseph Pang, menasihati penduduk supaya tidak bimbang kerana pasukan keselamatan sentiasa memantau perairan negeri itu.

"Jangan risau kerana kita mempunyai anggota keselamatan yang terlatih untuk menangani isu keselamatan. Mereka ada untuk melindungi keselamatan kita," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali, menafikan laporan berkenaan dan menganggapnya berita palsu.

Beliau berkata, ia sebenarnya membabitkan perjumpaan 19 'datuk bandar' dari selatan Filipina baru-baru ini, berkaitan usaha menjaga keselamatan dan rancangan mempertahankan kawasan itu dari elemen yang menggugat keselamatan, bukan merancang plot baharu untuk menawan Sabah.

Katanya, berita palsu berkenaan telah dimanipulasi individu tertentu yang cemburu dengan keamanan dan keselamatan dikecapi negeri ini serta Malaysia keseluruhannya.