MALAYSIA
Terasa kehilangan, kawan baik ziarah kubur Abdul Fatah setiap hari

Gambar Qarnain yang dikongsi Khairol Rizal di TikToknya. - Sinar Harian
SEREMBAN: Pemergian murid Tahun Tiga yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Sabtu lalu, turut meninggalkan kesan mendalam kepada rakan karibnya.
Ringkasan AI
- Rakan karib mangsa, Qarnain, kerap menziarahi pusara Abdul Fatah selepas tragedi murid Tahun Tiga maut terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sekolah Lenggeng.
- Bapa mangsa berkongsi gambar menyayat hati yang menunjukkan Qarnain meratapi pemergian sahabatnya, mencerminkan nilai persahabatan sejati.
- Keluarga mangsa masih menunggu laporan siasatan sebelum memutuskan tindakan lanjut, manakala KPM memberi jaminan siasatan terperinci untuk elak kejadian berulang.
Menurut bapa Allahyarham, Khairol Rizal Mustafar, 42, beliau berkongsi gambar itu di media sosial kerana begitu tersentuh dengan nilai persahabatan sejati kedua-dua mereka.
“Gambar itu dikongsi oleh ayah Qarnain kepada saya dan melihatnya membuatkan saya sendiri sedih kerana anak sekecil itu sudah mengerti nilai persahabatan.
“Saya simpannya di TikTok supaya bila rindu, saya boleh tengoknya bila-bila masa,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Qarnain merupakan sahabat baik anaknya dan mereka duduk bersebelahan di dalam kelas.
Ujarnya, mereka mula berkawan baik sejak Tahun Tiga dan semakin rapat sejak berada dalam kelas yang sama.
“Saya juga ada jumpa guru kelas anak dan diberitahu tentang perubahan Qarnain yang dulunya agak aktif, tetapi sekarang lebih banyak diam.
“Saya faham dia berasa kehilangan arwah dan saya juga sudah beritahu ayahnya supaya beri motivasi dan semangat kerana bimbang kesedihannya berpanjangan,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau telah membuat keputusan mengambil tindakan terhadap pihak berwajib ekoran penggunaan penutup lubang kumbahan yang tidak selamat di sekolah, Khairol Rizal berkata, beliau masih belum memutuskannya.
Jelasnya, beliau masih meletakkan diri dalam tempoh bertenang dan akan menunggu hasil laporan siasatan.
“Saya dan isteri tak fikir pun lagi. Saya tak tahulah akan datang, tapi buat masa ini kami dalam tempoh bertenang,” katanya.
Dalam kejadian Sabtu lalu, Abdul Fatah dilaporkan terjatuh ke dalam lubang berkenaan ketika memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah sekitar jam 9 pagi.
Kejadian malang itu berlaku ketika berlangsung acara sukan sekolah yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mohd Asna Amin.
Susulan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan pihaknya mengambil tanggungjawab penuh untuk menyiasat secara terperinci tragedi berkenaan.
Beliau berkata, laporan lengkap hasil siasatan akan dikemukakan segera untuk tindakan lanjut, sekali gus memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa depan. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami