DREBAR
Terbaharu di pasaran: Peugeot 308 THP

Rekaan
Jelas kelihatan 308 THP baharu ini mempunyai penggayaan yang lebih matang, namun masih mengekalkan formula hatchback 4-pintu. Tetapi yang menerima perubahan yang paling menyeluruh adalah kabinnya.
Peugeot mengetengahkan konsep i-Cockpit iaitu meliputi empat komponen bersepadu – stereng kompak dibalut kulit, panel instrumen tinggi, konsol tengah tinggi, dan skrin sentuh HD pelbagai fungsi bersaiz 9.7 inci. Bahagian tengah papan pemuka kelihatan ringkas dengan hanya slot CD kelihatan. Kawalan untuk sistem pendingin dan audio, contohnya, dilakukan menerusi skrin sentuh.
Sistem pacuan
Huruf-huruf THP pada nama kereta ini membawa maksud ‘Turbo High Pressure’ dan enjin 1.6-liter ini menghasilkan 150hp dan 240Nm yang dibawa ke tayar-tayar hadapan menerusi kotak gear automatik Aisin 6-kelajuan.
Penggunaan petrol dikatakan serendah 6.5 liter setiap 100km. Prestasi ini dibantu dengan berat model ini yang 140kg lebih rendah dari generasi sebelumnya.
Ciri standard
Di sinilah di mana 308 THP baharu jauh mengatasi generasi sebelumnya – antara lain adalah lampu utama LED, brek parking elektrik, sistem audio berkualiti tinggi Arkamys dengan enam pembesar suara, fungsi urut pada kedua-dua kerusi hadapan, dan juga kamera undur terbina dalam.
Dari segi ciri keselamatan, 308 THP ini dilengkapi sistem ESP, Hill Start Assist dan juga 6 beg udara. Tambahan itu, model ini dilengkapi ‘Drive Assistance Pack’ yang terdiri daripada Dynamic Cruise Control, Emergency Collision Alert dan juga Emergency Collision Braking.
Dynamic Cruise Control membolehkan kereta mengawal jarak kepada kereta hadapan sewaktu cruise control aktif. Jika halangan di hadapan sudah jauh, sistem akan dengan sendiri memecutsemula ke kelajuan yang pemandu sudah tentukan.
Emergency Collision Alert dan juga Emergency Collision Braking pula adalah sistem yang memberi amaran kepada pemandu apabila kenderaan di hadapan terlalu rapat dan seterusnya jika ini tidak mendatangkan tindak balas daripada pemandu, brek secara automatik akan diaktifkan untuk mengurangkan impak pelanggaran, atau jika boleh mengelakkan daripada ia terjadi.
Ditambah dengan struktur yang kukuh, Peugeot 308 THP ini diberikan lima bintang daripada pihak Euro NCAP untuk tahap keselamatan yang tinggi.


Harga
Peugeot 308 THP baharu dijual pada harga RM132,888 (harga atas jalan dengan insurans). Ia datang dengan waranti lima tahun dengan perbatuan tanpa had. Sepertimana model-model lain, pemilik juga mendapat faedah servis bantuan Peugeot 24-jam di samping penggunaan lounge Peugeot di lapangan terbang Subang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami